AUTHENTIC JAPANESE EXPERIENCE TRIP: Harie Shozui No Sato-The Village of Living Water (Shiga Prefecture)

Harie Shozui No Sato adalah bermaksud, Harie-The Village of Living Water. Terletak di Shiga Prefecture, berhampiran dengan sebuah tasik air tawar yang terbesar di Jepun dan ianya adalah antara sebuah tasik tertua di dunia iaitu sekitar 4 juta tahun usianya iaitu Biwako atau Tasik Biwa.

Apakah yang istimewa di Harie?

Penduduk di Harie mempunyai pergantungan yang tinggi dengan punca air bawah tanah. Air bawah tanah ini datang dari salji yang cair dari gunung yang berhampiran seperti gunung Hira dan juga ada yang bertembung dengan laluan air bawah tanah yang berpunca dari Tasik Biwa (Biwako). Air disini menjalani pemeriksaan berkala dan dijamin selamat untuk di minum. Kandungan mineralnya juga hampir kepada kosong menjadikan ianya sedap dan mudah untuk diminum.

Di Harie terdapat kira-kira 170 buah rumah, 110 buah rumah terletak di terusan dan 90 daripadanya mempunyai kabata. Kira-kira 20 meter ke dasar bawah tanah di korek untuk mengeluarkan sumber air asli ini dan dikumpulkan di satu tempat di bahagian dapur yang dikenali sebagai kabata. Terdapat juga kabata yang diletakkan di luar rumah.

Kebanyakan penduduk di sini tidak menggunakan air paip dan oleh kerana itu mereka tidak perlu membayar bil air. Air yang telah digunakan pula akan melalui saliran paip khas yang melalui bawah jalan raya dan tidak bercampur dengan air di terusan mahupun kabata. Penduduk di sini juga telah bersepakat untuk menggunakan produk organik sahaja bagi menjaga dan memelihara kebersihan air di sini. Mereka menganggap air di Harie ini sebagai khazanah harta karun yang tidak ternilai dan oleh kerana itu mereka menjaganya sebaik mungkin.

Pada hari kedua trip ini, kami bergerak menaiki keretapi menggunakan JR Kansai Area Pass di Osaka Station dan turun di Shin-Asahi Station. Dari Shin Asahi Station kami berjalan kaki sekitar 1.2km ke pejabat pemandu pelancong Jepun sepertimana yang telah dijelaskan di dalam e-mail kepada saya sebelumnya. Anda juga boleh menaiki teksi untuk ke sini tetapi kami memilih untuk berjalan kaki semasa pergi dan menaiki teksi ketika pulang nanti supaya dapat berjalan-jalan sambil mengambil gambar. Rumah penduduk biasa adalah di larang untuk dirakamkan, hanya rumah yang dibawa oleh pemandu pelancong Jepun sahaja dibenarkan untuk dirakamkan.

Kincir air ini digunakan untuk menjanakuasakan elektrik untuk menyalakan lampu di taman permainan di sebelahnya.

Untuk bersiar-siar di Harie, anda perlu menempah slot samada pada sebelah pagi iaitu pada jam 10:30AM atau pada sebelah petang pada jam 1:30PM. Anda boleh emailkan permohonan ke [email protected] sekiranya berminat untuk mengikuti lawatan ini dan perlu pandai berbahasa Jepun kerana segala penerangan adalah di dalam bahasa Jepun. Bayaran kepada pejabat pemandu pelancong ini adalah ¥1000 yen setiap orang. Pemandu pelancong berbahasa Inggeris juga mungkin boleh disediakan sekiranya dimaklumkan dengan lebih awal, tetapi saya kurang pasti berapa bayarannya untuk pemandu pelancong yang boleh berbahasa Inggeris.

Pemandu pelancong kami pada hari itu adalah seorang pakcik yang sangat peramah bernama Miyake-san. Semasa pendaftaran, kami dibekalkan dengan pas lawatan dan juga cawan kertas. Miyake-san membawa kami melawat ke 2 buah rumah untuk melihat kabata iaitu di rumah beliau sendiri dan rumah teman sekerjanya. Beliau juga membawa kami bersiar-siar ke kawasan terusan untuk melihat kejernihan air, tumbuhan dalam air tersebut dan juga ikan koi.

Kawasan kampung di Jepun sangat berbeza dengan kawasan di bandar kerana kita boleh rasai kehidupan mereka lebih santai berbanding penduduk di bandar. Penduduk yang tertua di Harie ini berusia sekitar 100 tahun umurnya.

Sekitar jam 11 pagi kedengaran bunyi jam menandakan penduduk di sini akan pulang ke rumah untuk menyediakan dan menikmati hidangan tengahari dan pada jam 12 tengahari kedengaran sekali lagi bunyi jam menandakan mereka akan masuk semula bekerja. Jarak tempat kerja dan kediaman mereka juga sangat dekat.

Kebanyakan penduduk di sini bekerja di sektor perkilangan, cuma 2 keluarga sahaja yang bekerja di sektor pertanian. Namun, kebanyakan mereka mempunyai kebun sayur dan buah-buahan sendiri.

Kabata milik Miyake-san adalah terletak di luar rumahnya dan beliau juga turut membela ikan koi yang berwarna keemasan selain ikan koi biasa di dalam kabatanya. Menurut Miyake-san, pada musim sejuk, ikan koi kurang bergerak dan mereka kurang lapar. Ikan koi mempunyai jangka hayat seperti manusia dan boleh hidup sehingga 80 tahun.

Penduduk di sini membela koi di dalam kabata mereka dan mereka tidak akan makan ikan ini, malahan menganggapnya sebagai sebahagian daripada ahli keluarga. Ikan koi di kabata ini bertindak sebagai penapis air semulajadi kerana mereka akan makan bendasing di dalam air. Selain itu, ikan koi juga turut diberikan sisa makanan atau zanpan kerana adalah menjadi adat resam Jepun untuk tidak membazir atau lebih dikenali sebagai konsep mottainai.

https://shemazack.com/mottainai/

Ikan koi yang dibela di terusan dibeli bersama oleh penduduk di Harie dan menjadi tanggungjawab bersama mereka untuk membelanya.

Ikan koi adalah ikan yang sangat jinak dan periang. Pulang dari Harie, saya sendiri menjadi teruja untuk memelihara ikan koi di rumah nanti.

Pada musim selain musim sejuk, anda akan melihat penduduk di sini meletakkan sayur-sayuran dan buah-buahan di dalam kabata kerana mereka mencucinya di situ. Selain itu, mereka juga merendam tahu di sini. Kami telah diberi peluang untuk minum air yang mengalir keluar dari dasar bawah tanah di kabata menggunakan cawan kertas yang telah dibekalkan. Air ini sangat sedap, menyegarkan dan mudah untuk diminum kerana kandungan mineralnya yang hampir tiada dan menjadikan ianya seperti air yang tulen.

Sesetengah rumah di Harie termasuk rumah milik Miyake-san menarik pemerhatian kami kerana dindingnya berwarna hitam seakan arang dan atapnya berwarna perak. Apabila diajukan soalan kepada beliau, Miyake-san menjelaskan bahawa papan yang digunakan untuk membuat dinding itu memang sengaja dibakar terlebih dahulu sebelum digunakan supaya menjadi tahan dari kulat, cendawan, kulapuk dan sebagainya.

Sekiranya anda ke sini, jangan pula bersandar di dinding rumah mereka kerana warna hitam arang akan melekat di baju nanti.

Atap genting yang digunakan pula dibakar sebanyak 2 kali dan asap daripada pembakaran ini menghasilkan warna seakan-akan perak dan tujuan ianya dibakar adalah untuk ketahanan selain menghasilkan warna yang menarik.

Tumbuhan di dalam terusan ini dinamakan baikamo dan pada awal musim panas, ianya akan mengeluarkan bunga yang berwarna putih. Baikamo cuma akan hidup di kawasan yang mempunyai air yang bersih dan mempunyai suhu bawah dari 15° dan sekata sepanjang tahun.

Baikamo ini berfungsi untuk memberikan oksigen di dalam air, memberikan habitat yang baik, menjadi kawasan perlindungan dan juga menjadi tempat bertelur ikan dan hidupan air yang lain.

Lawatan kami mengambil masa kira-kira 90 minit dan kami pulang semula ke pajabat pemandu pelancong dan meminta Miyake-san untuk memanggilkan teksi untuk kami. Kami meninggalkan Shin-Asahi Station dan bergerak ke destinasi seterusnya dengan menaiki keretapi. Saya meninggalkan Shin-Asahi Station dan di telinga saya masih terngiang-ngiang soalan Miyake-san yang menanyakan keadaan air di Malaysia.

Biarpun Jepun adalah negara yang maju tetapi apabila melihat mereka masih boleh memelihara dan mengekalkan cara tradisional sebegini disamping memastikan kualiti kebersihan airnya membuatkan kami rasa sangat kagum dengan sikap dan semangat mereka.

Sekembalinya di Malaysia, saya memandang longkang di kawasan perumahan saya dengan perasaan kosong, hampa dan hiba. Masih belum terlambat rasanya untuk kita mendidik diri kita serta generasi akan datang supaya menitikberatkan penjagaan air di negara kita bermula dari rumah kita sendiri.

Video dan gambar semasa lawatan ini boleh dilihat di sini:

Semoga tips saya ini membantu anda semua yang sedang membuat perancangn ke Jepun dan segala ilmu yang saya dapat dan saya kongsikan di sini, diharapkan dapat memberikan manfaat buat kita semua. Terima kasih.

Tinggalkan Balasan