AUTHENTIC JAPANESE EXPERIENCES TRIP: Higashiyama Culture (Kyoto Prefecture)

Suatu masa dahulu Kyoto adalah ibu negara Jepun dan menjadi kediaman keluarga di raja Jepun pada tahun 794 sehingga tahun 1868.

Era Higashiyama yang dikenali sebagai Era Kebudayaan Higashiyama diperkenalkan pada abad ke-15 oleh Shogun Ashikaga Yoshimasa, selepas dia bersara dan menetap di kawasan di Higashiyama di Kyoto.

Era Kebudayaan Higashiyama mempunyai nilai-nilai estetika Zen Buddhism dan konsep wabi-sabi (sederhana itu sempurna), chadō (upacara minum teh Jepun), ikebana (seni gubah bunga), drama teater Noh, dan sumi-e (seni lukisan menggunakan dakwat). Kebanyakan budaya tradisional Jepun yang boleh kita lihat sehingga hari ini adalah diasaskan semasa Era Kebudayaan Higashiyama.

Kami mendarat di Kansai Airport, Osaka, Jepun pada jam 5:40AM dengan menaiki pesawat MH52 dan terus mengambil JR Area Pass 3 Days di JR West Ticket Office di JR Kansai Airport Station yang bernilai 5300 yen.

Dari JR Kansai Airport Station kami menaiki gerabak non-reserved seats Kansai-Kansai Express HARUKA dan turun di Kyoto Station dan menyimpan beg di coin locker.

Kemudian, kami berjalan ke luar stesyen keretapi menuju ke tempat menaiki bas yang terletak di hadapan Kyoto Station, menaiki bas nombor 100 dan turun di hentian bas Kiyomizu-michi dengan tambang bernilai 230 yen.

Dari hentian bas Kiyomizu-michi, kami berjalan menjelajahi kawasan Higashiyama bermula dengan Sannenzaka, Ninenzaka, Hokanji, Ishibekoji, Entokuin, Sho Museum, Nene No Michi, Kodaiji, makan tengahari di Halal Yakiniku Naritaya, sambung lawatan ke Gion Shirakawa, Hanamikoji, Pontoncho Area, Shinkyogoku Shopping Area, Nishiki Market dan Teramachi Shopping Street.

Sannenzaka & Ninenzaka

Sannenzaka dan Ninenzaka adalah 2 buah lorong di Kyoto untuk pejalan kaki dan masih terpelihara dengan sejarah dan budaya lama Jepun dan boleh kita lihat dengan peninggalan bangunan lama di sini. Lorong ini menghubungkan Kiyomizudera dengan Nene No Michi Lane.

Ninenzaka dan Sannenzaka kedua-duanya bermaksud Two Years Hill dan Three Years Hill merujuk kepada tahun pemerintahan beraja semasa ianya mula diasaskan. Di Ninenzaka inilah terletaknya cawangan restoran Starbucks yang pertama bertemakan lantai tatami.

Hokanji Temple

Hokanji Temple juga dikenali sebagai Yasaka Pagoda adalah ikon yang dianggap sebagai Eiffel Tower Kyoto.

Ishibekoji

Ishibekoji adalah lorong yang agak istimewa dan berbeza dengan lorong-lorong lain di Higashiyama kerana kita boleh melihat susunan bata dinding dan batu di jalanraya yang berwarna merah iaitu sesuatu yang sukar didapati semasa era awal Taisho dan kawasan ini juga dikenali sebagai Taisho Roman.

Entokuin, Nene No Michi, Sho Museum & Kodaiji

Bayaran masuk untuk ketiga-tiga tempat ini adalah 900 yen dan sangat berbaloi sekiranya anda merancang untuk melawat ketiga-tiga tempat ini.

Entokuin adalah rumah kediaman Nene iaitu isteri sah kepada samurai Toyotomi Hideyoshi dan beliau menghabiskan hayatnya di sini selama 19 tahun selepas kematian suaminya. Lokasi ini dipilih supaya beliau mudah melawat kubur suaminya setiap pagi dan jalan dari kediamannya ini ke Kodaiji digelarkan sebagai Nene No Michi. Nene telah membuat keputusan untuk menjadi biarawati setelah kematian suaminya lalu mengasaskan Kodaiji. Suaminya, ibunya dan juga Nene sendiri telah dikebumikan di Kodaiji.

Sho Museum pula adalah sebuah musim seni yang kecil dan terletak berdekatan dengan Entokuin yang mempamerkan barangan lacquer ware milik Kodaiji yang dihias dengan taburan serbuk emas dan perak dan juga beberapa artifak sejarah yang lain.

Gion Shirakawa & Pontoncho

Lorong paling terkenal di sini untuk melihat geiko/geisha dan maiko adalah di Hanamikoji tetapi anda juga boleh memilih untuk ke Gion Shirakawa yang lebih sunyi dan kurang pelancong tetapi masih menarik untuk dilawati dan bertemu geiko/geisha atau maiko ini. Istimewanya, terdapat terusan di sini iaitu Shirakawa Canal dan tamat di Shijo Avenue yang memberikan pemandangan yang lebih menarik.

Pontoncho juga adalah kawasan pilihan yang lain selain Hanamikoji dan Gion Shirakawa untuk bertemu geiko/geisha dan maiko di bandar Kyoto.

Shinkyogoku Shopping Area, Nishiki Market & Teramachi Shopping Street.

Nishiki Market adalah pasar ikan di mana anda boleh beli atau makan hasil makanan laut. Shinkyogoku dan Teramachi pula adalah arked membeli-belah beratap seperti di Shinsaibashi Osaka.

Selesai lawatan dan membeli-belah, kami berjalan ke Shijo Station dan menaiki subway dari Shijo Station ke Kyoto Station dan mengambil beg di coin locker lalu mengambil keretapi dari Kyoto Station ke Osaka Station. Tiba di Osaka Station kami menaiki teksi ke hotel yang terletak di kawasan Umeda/Osaka Station.

Tamatlah perjalanan kami pada hari pertama di Kyoto. Beberapa gambar dan video yang diambil semasa trip pada hari pertama ini boleh dilihat di sini:

Semoga perkongsian saya ini membantu perancangan perjalanan anda semua. Terima kasih.

Tinggalkan Balasan