12 Stesen Keretapi Terpencil Di Jepun Mengikut Senarai Kedudukan

Disebut sebagai hikyo eki (秘境駅) dalam bahasa Jepun atau bermaksud stesen yang terpencil adalah tempat yang dicari-cari oleh penggemar fotografi dan juga peminat keretapi atau peminat stesen keretapi lama.

Ciri-ciri hikyo eki, adalah stesen ini mestilah mujin eki iaitu tiada orang, tiada staf, tiada bilangan pengguna ataupun hampir tiada pengguna. Lokasi stesen kebiasaannya di atas gunung, kawasan hutan, ladang terbiar atau kampung terbiar dan tinggal wargamas sahaja dan stesen yang menjadi switchback point. Kebanyakan pengguna stesen ini pula biasanya terdiri daripada pendaki gunung kerana tiada kediaman berhampiran dan untuk ke stesen ini kebiasaannya tiada akses yang mudah menggunakan jalanraya tar.

1) Stesen Koboro, Hokkaido (Muroran Main Line)

Menduduki ranking teratas dalam senarai hikyo eki, kewujudan stesen keretapi di sini amat aneh kerana tiada jalanraya dan rumah berhampiran dan ianya terletak cuma 80 meter dari sebuah terowong. Stesen Koboro dibina asalnya bagi memberikan laluan kepada keretapi laluan sebelah lain kerana terdapat 2 landasan di sini.

Pada suatu ketika dahulu terdapat 7-8 buah rumah di sini, tetapi semuanya telah ditinggalkan. Selepas itu terdapat seorang lelaki yang digelar sebagai koboro sennin yang menetap di rumah yang dibinanya sendiri di sini dan beliau telah meninggal dunia. Oleh kerana tiada pelanggan di sini, JR Hokkaido telah memutuskan untuk menutup stesen ini pada Mac 2016. Namun, selepas pengumuman penutupannya, stesen ini dikunjungi oleh ramai orang dan menyebabkan JR Hokkaido menarik penutupannya dan ianya masih beroperasi sehingga ke hari ini. Nasibnya akan diketahui selepas Mac 2018 pula nanti.

2) Stesen Omori, Shizuoka (Ikawa Line)

Omori Station dikatakan cuma mempunyai purata seorang penumpang sahaja dalam sehari. Pembukaan stesen ini adalah kerana terdapat empangan dan stesen janakuasa di sini.

Laluan Ikawa sangat cantik dan sangat berbaloi untuk menggunakan laluan ini dan satu-satunya laluan keretapi di Jepun yang menggunakan teknologi rack & pinion atau cogwheel railway.

3) Stesen Kowada, Shizuoka (Iida Line)

Terletak di sempadan 3 buah wilayah di Jepun iaitu Shizuoka, Aichi dan Nagano.

Ibarat menaiki mesin masa dan kembali ke masa silam. Bangunan Stesen Kowada adalah bangunan lama sejak tahun ia mula dibuka iaitu 1939.

Stesen Kowada mendapat perhatian semula pada tahun 1993 semasa perkahwinan diraja iaitu Putera Mahkota Naruhito dan pasangannya yang nama keluarganya mempunyai ejaan sama, dengan Kowada (小和田) iaitu Masako Owada (小和田) dan sejak itu stesen ini digelarkan sebagai “Stesen Yang Menyatukan Cinta” sehinggakan pernah ada keretapi khas buat meraikan pengantin pada suatu ketika dahulu di sini.

Terjemahan tulisan di atas bangku : Bermulanya “Love Story” di Kowada. Kanji berwarna merah yang bermaksud Cinta. Bangku yang memanggil kebahagiaan untuk kedua pasangan.

4) Stesen Tamoto, Nagano (Iida Line)

Terdapat sebuah perkampungan di sini iaitu Yasuokamura kira-kira 20 minit berjalan kaki dari stesen ini dan pengguna tetap stesen ini adalah seorang wanita.

Dari Yasuokamura boleh nampak pemandangan Sungai Tenryu yang sangat jernih.

Terdapat juga pemandangan ladang teh berhampiran dengan Stesen Hiraoka dan di laluan keretapi yang sama dengan Stesen Yasuokamura iaitu Iida Line.

5) Stesen Akaiwa, Fukushima (Ou Main Line)

Malangnya, kini keretapi tidak lagi berhenti di sini kerana langsung tiada pengguna di sini.

6) Stesen Tsubojiri, Tokushima (Dosan Line)

Stesen Tsubojiri adalah merupakan stesen keretapi yang mempunyai fungsi switchback yang digunakan oleh keretapi biasa.

Keadaan dalam stesen ini masih dikekalkan seperti dulu.

Tidak jauh dari stesen ini terdapat kedai runcit yang terbiar dan sudah roboh dan dikatakan pernah dimasuki oleh penjenayah kes pembunuhan bersiri yang pernah menggegarkan penduduk Shikoku pada tahun 1963.

7) Stesen Kinno, Nagano (Iida Line)

Bilangan purata pengguna Stesen Kinno adalah 0.4 orang dalam sehari.

Kira-kira 10-15 minit berjalan kaki dari Stesen ini, terdapat Jiji Kingdom, Restoren Atas Gunung yang menyediakan tempat makan dan penginapan dengan kos yang rendah. Kesemua pekerjanya adalah sukarelawan. Makanan yang dimasak di sini adalah bebas bahan kimia dan dari hasil hutan.

Pemandangan menaiki keretapi di Iida Line sangat cantik kerana melalui kawasan sungai, hutan, kampung dan ladang.

8) Stesen Furuse, Hokkaido (Nemuro Line)

Di kawasan Stesen Furuse pada suatu ketika dahulu dikatakan mempunyai 20 buah rumah kakitangan kerajaan yang bekerja di lapangan isyarat ini, namun kini tiada penghuni lagi di sini. Bangunan yang kelihatan dalam gambar itu bukan stesen tetapi bangunan tanda isyarat untuk penukaran jalan rel atau turn out switch atau point.

9) Stesen Hattaushi, Hokkaido (Nemuro Line)

Hattaushi dalam bahasa Ainu adalah bermaksud muara yang mempunyai kolam air yang dalam.

Tiada kediaman di sekitar stesen ini dan purata pengguna harian ada bawah 1 orang.

10) Stesen Nukanan, Hokkaido (Soya Main Line)

Stesen ini pun sudah tidak mempunyai pengguna.

Semenjak destinasi hikyo eki menjadi boom, ramai orang yang datang melawat stesen ini kerana rupa bentuknya yang kecil dan comel ini menarik perhatian ramai.

11) Stesen Toyogaoka, Hokkaido (Sassho Line)

Stesen keretapi ini juga tiada pengguna tetapi ramai pengunjung semenjak kebelakangan ini yang datang untuk mengambil gambar.

Di dalam bilik menunggu terdapat gambar yang telah di ambil oleh pengunjung yang melawat ke sini.

Masyarakat dan pihak kerajaan setempat juga ada mengadakan acara di sini sejak kebelakangan ini.

12) Stesen Shingai, Kochi (Dosan Line)

Stesen Shingai juga adalah stesen switchback dan ada trek jalan keretapi mati di sini.

Semoga tips ini membantu anda yang berminat dengan kembara melawat hikyo eki yang juga menjadi aktiviti boom di kalangan orang Jepun sendiri sejak kebelakangan ini.

Artikel seterusnya, saya akan perkenalkan 12 Stesen Keretapi Terpencil Di Jepun Yang Unik Dan Cantik Untuk Dilawati.