Itinerari 6H5M Kansai Dengan Kos Di Bawah RM1500 Seorang (tidak termasuk tiket penerbangan)

Saya nak share itinerari 6 hari 5 malam ke Kansai dengan bajet di bawah RM1500 seorang (mengambil kira kos penginapan, ground transport, admission, insurans dan makan, tidak termasuk kos tiket penerbangan, shopping dan kos kecemasan)

Tetapi harus di ingat, bila saya sebut RM1500, itu tidak bermakna kita bawa/tukar duit ngam2 RM1500. Sila sediakan atm debit card dengan amaun simpanan yang mencukupi dan activate pengeluaran di luar negara atau credit card dengan credit limit yang banyak, serta cash money untuk kegunaan kos-kos yang saya tidak masukkan dalam pengiraan ini seperti shopping dan kos kecemasan.

Kos insurans adalah 2900 yen per pax untuk 10 hari.

https://shemazack.com/insurans-perjalanan-ke-jepun-dengan-benefit-cashless-treatment/

Kos makanan (breakfast/lunch/dinner/jajan) *sekiranya makan di kedai adalah dalam anggaran 2500 yen sehari atau bersamaan RM100 seorang.

Nak menginap di mana?

Penginapan yang murah banyak terdapat di kawasan Shin Imamiya/Dobutsuenmae dalam lingkungan harga 1000-1750 yen seorang , harga ini adalah sekiranya 1 bilik di kongsi berdua. Bilik ini lebih privacy berbanding dorm, cuma toilet dan shower adalah sharing beramai-ramai. Contoh hotel seperti ini adalah Hotel Mikado, Akasaka Ryokan, Hotel Sun Plaza dan Sun Plaza 2, Hotel Kaga, Hotel Sakura, Park Inn dan lain-lain. Tempahan boleh dibuat melalui Booking.com atau Agoda.com.

*Hotel-hotel saya sebutkan tadi kurang sesuai sekiranya anda mahukan private bath/toilet dan mempunyai anak kecil atau wargamas. Upgrade sedikit dengan harga minimum 3500 yen per pax untuk bilik private bersama private shower/bath di area Shin-Imamiya/Dobustusenmae/Tennoji atau Namba seperti Hotel Chuo Oasis.

Ini contoh saja, kalau nak book hotel selain ini pun tiada masalah. Boleh juga ambil dorm atau hotel 5 star, mengikut bajet masing2. Sila declare jumlah ahli keluarga/group anda, untuk memastikan booking diterima tanpa sebarang masalah nanti.

Saya rekomen area Shin-Imamiya dan Namba kerana direct naik tren/bas dari Kansai Aiport, boleh letak beg dulu, baru senang nak jalan-jalan. Kawasan ini juga central located, nak access ke seluruh area Kansai memang mudah dan kurang transit kerana kita akan menggunakan banyak tren line non-JR.

3 benda yang anda kena beli setibanya di Kansai Intenational Aiport:

1)ICOCA (IC card ala touch n go prepaid card) yang boleh dibeli dari vending machine di Kansai Airport Station bernilai 3000 yen termasuk 500 yen deposit untuk bergerak dari Kansai Airport Station ke hotel di kawasan Shin Imamiya/Dobutsuenmae menaiki Nankai Airport Express for Namba. Cara pembelian ICOCA adalah seperti link di bawah:

https://www.westjr.co.jp/global/en/howto/guide/movie03.html

2)Membeli Osaka Amazing Pass 2 Days bernilai 3300 yen di Kansai Information Center, Kansai International Airport.

Kelebihan pass ini boleh dilihat di sini:

https://www.osaka-info.jp/osp/en/

Kos pengangkutan selama 2 hari di Osaka City adalah menggunakan Osaka Amazing Pass 2 Days.

Kos admission selama 2 hari ini juga adalah di cover sepenuhnya oleh Osaka Amazing Pass 2 Days bagi attraction seperti di dalam link ini:

https://www.osaka-info.jp/osp/en/facility/free

3)Membeli Kansai Thru Pass 3 Days (Surutto Kansai) bernilai 5200 yen di Kansai Information Center, Kansai International Airport. Kelebihan dan detail pass ini boleh dilihat di sini:

http://www.surutto.com/tickets/kansai_thru_english02.html

Kos pengangkutan untuk 3 hari di Kansai menggunakan Kansai Thru Pass 3 Days (Surutto Kansai).

http://www.surutto.com/images/ticket/kansai_thru_pass/english/en_map.pdf

Sekiranya sampai awal pagi, boleh terus gunakan Osaka Amazing Pass 2 days, dan sekiranya sampai dah malam, gunakan sahaja Osaka Amazing Pass pada keesokan harinya, cuma gunakan ICOCA sahaja dari Kansai Airport ke hotel di area Shinimamiya/Namba etc, check-in dan rehat atau jalan2 kaki sahaja sekitar area hotel (Shinimamiya/Dobutsuenmae/Tennoji) seperti ke Abeno Harukas atau cuci mata di discount shop Don Quixote.

Day 1

Dengan menggunakan Osaka Amazing 2 Days Pass saya rekomen tour di:

Tombori River Cruise, Osaka Museum of History, Osaka Castle Museum, Osaka Castle Nishimomaru Garden, Osakajo Gozabune Boat, HEP FIVE Ferris Wheel, Floating Garden Observatory dan Umeda Joypolis Wild River. Admission tempat-tempat saya sebutkan tadi adalah percuma dengan menggunakan Osaka Amazing Pass ini.

Day 2

Dengan menggunakan Osaka Amazing 2 Days Pass saya rekomen tour di:

Osaka Museum of Housing and Living (Pakai kimono untuk bergambar 500 yen), Tsutenkaku Tower, Osaka Tennoji Zoo (kalau ada anak kecil), Cruise Ship Santa Maria Day Cruise, Tempozan Giant Ferris Wheel, Legoland Discovery Center Osaka (kalau ada anak kecil) dan Osaka Prefectural Government Sakishima Building Observatory. Admission ke tempat-tempat yang saya sebutkan di atas adalah percuma menggunakan Osaka Amazing Pass 2 Days.

Day 3

Bersiar-siar di Kyoto menggunakan Surutto Kansai 3 Days Pass 5200 yen. Detail pass ini boleh dilihat disini:

http://www.surutto.com/sp/ticket/kansai_thru_english.html

Saya rekomen pada hari ini tour di:

Arashiyama, Gion Shijo, Kiyomizudera, Sannenzaka, Ninenzaka etc. Kos menaiki Sagano Romantic Train adalah 620 yen sehala.

Day 4

Bersiar-siar di Kobe dan Nara menggunakan Surutto Kansai 3 Days Pass, anda boleh ke Masjid Kobe, Meriken Park, Kobe Port dan Nara Park.

Day 5

Bersiar-siar di Himeji menggunakan Surutto Kansai 3 Days Pass di Himeji Castle, Kokoen Garden dan shopping di Namba-Dotonbori, Shinsaibashi dan Kuromon Market serta bertolak pulang ke Kansai International Airport (penerbangan malam). Sekiranya penerbangan pagi pada hari ke-6, bermalam dahulu dan keesokannya menggunakan ICOCA untuk ke Kansai Airport. Baki dalam ICOCA boleh juga digunakan untuk membeli di convenient store (kombini) atau request refund tetapi ada admin charge di tolak sedikit dari deposit.

Day 6

Bertolak ke Kansai International Airport untuk berlepas pulang ke Kuala Lumpur.

Total Kos Ground:

Penginapan 1500 yen x 5 malam = 7,500 yen

Transport ICOCA+Osaka Amazing Pass 2 Days+Surutto Kansai 3 Days Pass (3,000 yen+3300 yen+5200 yen)=11,500 yen

Admission menggunakan Osaka Amazing Pass = PERCUMA

Kimono=500 yen

Sagano Romantic Train=620 yen

Kos makan 2500 yen x 5 hari+1 breakfast = 13,000 yen

Insurans=2900 yen

Total 36,020 yen atau RM1440.80 (rate 0.04)

Trip begini sesuai buat backpacker tetapi agak selesa kerana tidak menginap di dorm dan saya masukkan bersama anggaran kos makan.

Buat pasangan yang membawa kanak-kanak kecil dan wargamas, sila tempah penginapan yang sesuai dan mengambil teksi sekiranya jarak berjalan kaki jauh supaya dapat mengurangkan keletihan. Sekiranya jarak perjalanan di bawah 3km, dan kongsi 4 orang untuk 1 cab, masih lagi berbaloi dan murah tambangnya.

Kalau setakat ulang-alik pergi shopping di Namba sahaja atau kos perjalanan sehari kurang dari 1800 yen, lebih baik beli IC card seperti ICOCA, PITAPITA etc tanpa menggunakan pass.

Untuk merancang trip, ingat step ini:

1)Rancang perjalanan, senaraikan wish list tempat2 nak pergi

2)Kira kos

3)Tentukan jenis pass/tiket nak beli mengikut line keretapi yang digunakan.

Sekiranya nak masukkan pengalaman naik shinkansen atau menggunakan JR line (contohnya apabila tempat nak pergi itu memerlukan penggunaan JR line) dan nak beli tiket taman tema yang tidak di cover oleh Osaka Amazing Pass seperti tiket Universal Studio Japan (USJ) etc, silakan tambah kos tersebut dan kira sendiri yer.

Contoh kos admission tempat lawatan yang utama di Kansai:

USJ 7400 yen/dewasa

TOEI Kyoto Studio Park 2200 yen/dewasa

Osaka Aquarium Kaiyukan 2300 yen/dewasa

Harap tips ini membantu, terima kasih.