AUTHENTIC JAPANESE EXPERIENCE TRIP: The Last Real Ninja House & Hikone Castle

Dari Shin-Asahi Station, kami meneruskan perjalanan ke Konan Station dengan menggunakan Kansai Area Pass. Terdapat keretapi yang istimewa ke sini iaitu Shinobi Train pada masa-masa yang tertentu.

Tiba di Konan Station yang terletak di Shiga Prefecture, kami menaiki teksi dengan tambang lebih kurang 900 yen ke Koka-ryu Ninjutsu Yashiki. Anda juga boleh berjalan kaki selama 20 minit atau menaiki basikal sewa yang disediakan di hadapan stesen dengan bayaran 500 yen sebuah.

Rumah ninja ini telah dibina antara tahun 1688-1704 pada zaman edo dan dianggarkan berusia lebih kurang 300 tahun.

Koka-ryu Ninjutsu Yashiki (甲賀流忍術屋敷), atau Koka-ryu Ninja Residence adalah rumah kediaman Mochizuki Izumonokami (望月出雲守), iaitu ketua keluarga ninja yang mengetuai 53 buah keluarga Koka ninja.

Selain Koka atau disebut juga Koga yang terletak di Konan, Shiga Prefecture, Iga di Iga Ueno, Mie Prefecture juga adalah tempat kelahiran dan sekolah ninja yang terkenal satu ketika dahulu.

Kami memilih untuk ke Konan kerana rumah ini ianya adalah satu-satunya rumah ninja yang asli dan masih kekal sehingga ke hari ini. Sekiranya anda lebih berminat untuk mencuba aktiviti untuk menjadi seorang ninja, anda boleh memilih samada ke Koka Ninja Village, Shiga Prefecture atau ke Ninja Museum of Ninja-ryu, Mie Prefecture.

Rumah ninja ini kelihatan seperti rumah biasa yang beratap jerami 1 tingkat jika dilihat dari luar tetapi sebenarnya adalah 3 tingkat dan dilengkapi dengan tipu helah dan perangkap yang tersembunyi. Ini adalah persiapan untuk menghadapi serangan hendap daripada pihak musuh yang menceroboh masuk ke dalam rumah.

Ada sebuah tangga yang tersembunyi di dalam pintu pusingan (revolving door) yang kelihatan seperti dinding biasa untuk ke tingkat mezanin.

Siling di tingkat mezanin ini sangat rendah iaitu 1 – 1.5 meter dan keadaan ini menyukarkan penceroboh semasa mengeluarkan pedang katana. Manakala bagi ninja pula, mereka mempunyai katana yang lebih pendek dan ini memberikan kelebihan kepada mereka untuk bertarung di tempat yang bersiling rendah ini.

Dari tingkat mezanin, ada tangga untuk naik ke tingkat 3 dan seterusnya dari tingkat 3 pula ada tangga bertali untuk melarikan diri turun ke tingkat bawah.

Di tingkat mezanin ini juga ada tingkap kekisi yang boleh dibuka untuk ninja melarikan diri ke tingkat bawah.

Di bahagian tingkat bawah terdapat ruang tamu tersembunyi yang ditutup dengan pintu gelangsar (sliding door) yang kelihatan seperti dinding biasa. Ia adalah lebih berat daripada pintu gelangsar biasa dengan berat lebih kurang 50 kg. Ini bertujuan untuk menipu dan melengahkan pihak musuh dari membuka pintu yang disangkakan dinding sementara ninja pula sempat melarikan diri.

Saya tertarik dengan rekaan sebuah tingkap mekanikal di dalam ruang tamu ini. Ia kelihatan seperti tingkap kekal yang tidak boleh dibuka tetapi dengan hanya melalukan secebis kertas di antara dinding dan bingkai tingkap, tingkap boleh dibuka untuk melarikan diri. Apabila tingkap ditutup semula, ia akan terkunci seperti keadaan asal. Tingkap ini sekali lagi menipu pihak musuh yang dapat membuka pintu gelangsar yang berat tadi dan terkeliru ke mana hilangnya ninja selepas dapat memasuki ruang tamu.

Selain itu, terdapat juga pintu yang boleh separa berpusing dan tersembunyi di dalam almari yang kelihatan seperti dinding biasa untuk menyembunyikan diri atau melarikan diri ke pintu depan rumah.

Berbalik kepada pintu separa pusingan untuk memasuki ruang kecil yang menyembunyikan tangga ke tingkat mezanin. Pintu ini hanya boleh berpusing sekali sahaja mengikut arah jam dan perlu ditolak semula ikut arah lawan jam untuk membukanya. Ia bertujuan melengahkan pihak musuh yang cuba menolak pintu dari arah yang sama apabila melihat ninja memasuki pintu pusingan.

Di dalam ruang kecil ini pula, selain menjadi tempat menyembunyikan tangga untuk ke tingkat mezanin, terdapat lubang perangkap (pitfall) yang tersembunyi di bawah lantai. Apabila musuh tadi menyedari kesilapan dan dapat memasuki pintu separa pusingan, lubang perangkap ini sudah siap dibuka oleh ninja dan musuh akan terjatuh ke dalam lubang perangkap sedalam 3 meter. Selain menjadi lubang perangkap, ninja juga menggunakan lubang ini untuk melarikan diri mengikut terowong ke luar kawasan rumah. Lubang perangkap ini berisi air dan kelihatan seperti telaga, hanya ninja sahaja yang memahami struktur keadaan lubang perangkap ini yang mempunyai terowong untuk keluar ke bahagian taman semasa kecemasan.

Lawatan kami diakhiri dengan hidangan teh herba Koka ninja yang mempunyai sejarah selama 600 tahun.

Keesokan paginya, sebelum berangkat meninggalkan Shiga Prefecture, kami bersiar-siar di kawasan taman Hikone Castle untuk menikmati matahari terbit.

Kawasan istana agak besar dan dikelilingi terusan dan pokok-pokok pine yang cantik. Terdapat 47 buah pokok pine jenis Irohamatsu yang berasal dari Tosa, Kochi Prefecture yang sengaja ditanam di tepi jalan kerana akarnya tidak menjalar ke atas bagi mengelak kerosakan laluan pejalan kaki dan jalan raya. Di sepanjang perjalanan, kami dapat melihat angsa, burung dan itik di kawasan terusan istana.

Terdapat juga kawasan pokok Nikizaki Sakura atau Sakura Dua Musim yang berbunga pada musim bunga dan musim sejuk. Kami tidak berkesempatan untuk masuk ke dalam istana kerana diluar waktu lawatan.

Serba sedikit tentang sejarah Hikone Castle, ianya mula dibina pada pada tahun 1603 di atas perintah pembesar Daimyo Ii Naokatsu dan merupakan salah satu daripada 12 istana di Jepun yang masih kekal dengan Honmaru atau menara asli dan antara 5 istana yang tersenarai sebagai National Treasure oleh kerajaan Jepun.

Mengikut sejarah, menara asli ini telah dibina pada tahun 1575 untuk Otsu Castle dan dipindahkan ke Hikone oleh Ii Clan, selain bahagian lain istana yang dipindahkan dari Nagahama Castle, batu-batuan dari Sawayama Castle dan ianya siap dibina pada tahun 1622 oleh Daimyo Ii Naotaka iaitu adik kepada Daimyo Ii Naokatsu. Mereka berdua adalah merupakan anak kepada pembesar atau Daimyo Ii Naomasa iaitu salah seorang daripada 4 Jeneral terpenting di zaman pemerintahan Shogun Tokugawa Ieyasu yang juga digelar sebagai The Four Guardians of the Tokugawa.

Semasa zaman peralihan Meiji, kebanyakan istana telah dirobohkan kerana ianya melambangkan zaman feudal tetapi Maharaja Jepun ketika itu yang telah melawat Hikone Castle telah memerintahkan ianya untuk dikekalkan.

Selesai bersiar-siar di perkarangan Hikone Castle, kami menaiki keretapi di Hikone Station untuk ke destinasi seterusnya.

Gambar-gambar dan video yang diambil semasa lawatan kami ke sini boleh dilihat di sini:

Akses ke Koka-ryu Ninjutsu Yashiki: Konan Station

Bayaran masuk: 650 yen dewasa, 350 yen kanak-kanak (4 tahun ke atas)

Waktu Lawatan: 9AM-5PM

http://www.kouka-ninjya.com/la_en/

Akses ke Koka Ninja Village: Koka Station

Bayaran masuk: 1030 yen dewasa, 520 yen – 820 yen kanak-kanak

Waktu lawatan: 10AM-4PM

http://koka.ninpou.jp

Akses ke Ninja Museum of Igaryu: Uenoshi Station

Bayaran masuk: 756 yen dewasa, 432 yen kanak-kanak

Waktu lawatan: 9AM-5PM

http://www.iganinja.jp

Akses ke Hikone Castle: Hikone Station

Bayaran masuk: 600 yen (istana dan taman), 1000 yen (istana, taman dan muzium)

Waktu lawatan: 8:30AM-5PM

http://www.hikoneshi.com/en/hikone-castle

Semoga tips ini membantu perancangan percutian anda ke Jepun, terima kasih.

Tinggalkan Balasan