AUTHENTIC JAPANESE EXPERIENCE TRIP: Miyama Kayabuki No Sato

Miyama, Kayabuki No Sato atau Miyama Village adalah sebuah perkampungan lama yang terletak di kawasan pergunungan di luar bandar Kyoto.

Terdapat lebih kurang 200 buah rumah beratap jerami di Miyama dan di Kayabuki No Sato sahaja terdapat 50 buah rumah, 38 buah daripadanya adalah beratap jerami. Ianya terdiri dari rumah kediaman, 1 buah muzium, 1 buah galeri, dewan orang ramai, pustaka dan rumah tumpangan.

Miyama telah diiktiraf oleh kerajaan Jepun pada 8 Disember 1993 sebagai Preservation Districts For Groups Of Historic Buildings.

Berbanding dengan daerah dan bandar bersejarah yang lain, rata-rata rumah lama di Miyama ini masih berpenghuni dan mereka menjalani kehidupan seharian seperti biasa di kawasan ini, lalu menjadikan Miyama sebagai sangat unik.

Atap kayabuki atau thatched roof ini akan ditukar setiap beberapa dekad untuk mengekalkan keasliannya. Pada satu ketika, tukang rumah semakin berkurang tetapi sejak beberapa tahun lalu ada beberapa penduduk kampung di sini yang menjadi tukang rumah dan mengambil alih kerja-kerja membaiki atap. Pada asalnya, penduduk kampung menubuhkan komuniti untuk membaikpulih atap rumah di sini. Tetapi selepas mendapat bantuan kewangan daripada pihak majlis bandar, kerja-kerja ini telah diambil-alih oleh pekerja profesional.

Salah satu kediaman yang dibuka untuk lawatan ialah Kayabuki No Sato Folk Museum yang mempamerkan peralatan tradisional dan barangan kegunaan seharian di rumah serta terdapat juga beberapa paparan tentang pembinaan dan penyelenggaraan atap jerami.

Tidak jauh dari muzium rakyat ini, terdapat Muzium Little Indigo, iaitu kediaman yang telah diubah menjadi studio galeri seni celup indigo.

Selain dari lawatan ke kedua-dua buah muzium ini, cara paling baik untuk merasai pengalaman sebenar di Miyama adalah dengan menginap di salah satu dari tiga buah minshuku atau rumah tumpangan.

Kemudahan yang terdapat di sini adalah kafe, kedai cenderahati (di kawasan tempat letak kereta di seberang jalan), kawasan parkir, tandas awam dan pondok menunggu bas.

Miyama juga terkenal dengan beberapa aktiviti luarnya seperti memancing ikan dan mendaki di sepanjang Sungai Yura. Sekiranya anda berjalan kaki di sepanjang sungai selama kira-kira dua kilometer iaitu kira-kira 20 minit dari Kayabuki no Sato anda akan tiba di Shizen Bunkamura Kajikaso, iaitu sebuah pusat alam sekitar yang turut menyediakan penginapan.

Bagi pendakian yang lebih ekstrem, anda boleh ke Hutan Ashiu yang meliputi sempadan timur perbatasan Miyama yang merupakan sumber Sungai Yura. Hutan ini dihuni oleh rusa, beruang, monyet, dan mempunyai jumlah jenis-jenis tumbuhan yang terbesar di Jepun. Hutan ini diuruskan oleh Universiti Kyoto sebagai kawasan penyelidikan dan anda memerlukan permit untuk masuk ke kawasan ini. Permit boleh diperolehi dari stesen penyelidikan di bahagian pintu masuk. Walaupun ada kemungkinan untuk melawat sendiri, adalah disarankan supaya meneroka Ashiu Forest dengan menyertai pakej lawatan yang disediakan oleh Shizen Bunkamura Kajikaso.

Kami melawat Miyama pada hari ketiga trip dengan menggunakan Kansai Area Pass dan turun di Hiyoshi Station, Kyoto.

Kos perjalanan antara Sonobe Station dan Hiyoshi Station perlu dibayar sebanyak ¥200 untuk perjalanan sehala kerana kawasan liputan Kansai Area Pass adalah sehingga Sonobe Station sahaja.

Tiba di Hiyoshi Station, kami menaiki bas dan turun di Kayabuki No Sato dengan kos sebanyak ¥610 bagi perjalanan sehala. Jadual bas boleh dilihat di link ini:

http://www.city.nantan.kyoto.jp/www/event/104/003/003/25844/00037467004.pdf

Di Kayabuki No Sato, terdapat banyak pondok kecil berhampiran dengan rumah-rumah beratap jerami ini. Pada tahun 2000, berlaku satu kebakaran yang telah memusnahkan salah satu dewan di sini iaitu Kayabuki Exchange Hall dan ianya dibina semula selepas 2 tahun.

Ekoran kejadian ini, mereka telah mengambil langkah berjaga-jaga dengan menyediakan paip bomba yang dilengkapi dengan pancuran air yang diletakkan di dalam pondok kecil tadi. Apabila diperlukan, atap-atap pondok kecil ini akan terbuka dan pancuran air akan mengeluarkan air secara automatik.

Setiap tahun, sebanyak 2 kali iaitu pada bulan Mei dan Disember, pemeriksaan berkala paip-paip bomba dan pancuran air ini dijalankan oleh pihak bomba sukarelawan dan acara ini telah menarik perhatian pelancong untuk melihat suasana kampung ini yang disirami air dan menghasilkan latarbelakang pelangi ketika cuaca cerah.

Kami sangat teruja dengan kawasan kampung yang aman damai dan dapat melihat sendiri suasana sebenar penduduk kampung yang tinggal di sini. Mereka masih mengekalkan tradisi lama dengan bercucuk tanam, menghasilkan baja kompos dengan menggunakan sisa makanan, membela ikan di kolam serta masih mengeringkan baju di ampaian di luar rumah.

Air yang mengalir di longkang di sini sangat jernih, cukup untuk menggambarkan betapa mereka di sini menjaga kebersihan.

Pada musim tertentu, anda dapat melihat pemandangan tanaman padi yang saujana mata memandang.

Pemandangan pada setiap musim di sini adalah berbeza dan menjanjikan keindahan dan keistimewaannya yang tersendiri.

Pada musim sejuk di antara hujung Januari dan awal Februari, acara istimewa iaitu yukitoro atau pesta cahaya akan diadakan. Semasa acara ini, terdapat 500 buah tanglung salji, 100 buah tanglung buluh, 150 buah tanglung bunga dan 200 buah tanglung LED akan dinyalakan secara serentak bagi menghidupkan suasana kampung yang sunyi dan cantik diselimuti salji tebal di waktu malam.

Miyama masih lagi kurang dikunjungi pelancong dan keadaan di sini amat tenang dan aman.

Antara pilihan untuk bermalam di sini:

http://www.kayabukinosato.com/matabe.html

http://miyama-heimat.com/en/en_tokita/

http://www.miyama-dan.com

http://www.kigusuriya.com

http://www.siphontei.jp

http://www.harimaya.net

http://www.miyamafandb.com/

http://www.estarnet.co.jp/guesthouse.html

dan lain-lain.

Semoga tips ini membantu perancangan perjalanan anda, terima kasih.

Artikel berkaitan rumah atap jeramai atau kayabuki boleh dibaca di sini:

https://shemazack.com/kayabuki/

https://shemazack.com/part3-yamazato/