Mottainai

Mottainai (勿体無い) dalam bahasa Jepun digunakan apabila ingin meluahkan rasa kesal akibat pembaziran sesuatu atau merasai sesuatu itu melebihi dari keperluan.

Semangat mottainai pernah luntur seketika dari orang Jepun akibat ketamakan terutamanya oleh para kapitalis.

Jepun mengalami banyak peristiwa yang pahit seperti kejadian 4 peristiwa pencemaran terbesar di Jepun yang mengakibatkan penyakit seperti Itai-itai byo (Toyama), Minamata byo (Kumamoto), Minamata byo (Niigata) dan Yokkaichi Asthma (Mie).

Penyakit Itai-itai byo muncul pada tahun 1912 di Toyama Prefecture. Penyakit ini terjadi disebabkan pencemaran air di Sungai Jinzugawa yang mengandungi hasil buangan cadmium oleh Mitsui Mining & Smelting Company. Penyakit ini dinamakan sebagai Itai-itai byo kerana pesakit ini mengerang sambil menyebut itai-itai yang bermaksud “sakitnya-sakitnya” dan byo pula bermaksud penyakit. Sesiapa yang minum air sungai dan makan tumbuh-tumbuhan yang ditanam menggunakan sumber dari sungai ini akan mendapat penyakit Itai-itai byo. Penyakit ini memberi kesan kerosakan buah pinggang, anemia, keretakan tulang dan lemah tubuh badan.

Penyakit Minamata byo pula terjadi akibat pengambilan makanan laut seperti ikan dan lain-lain. Tanda-tanda penyakit ini adalah kekejangan, penglihatan yang menjadi kabur secara tiba-tiba dan hilang deria pendengaran. Penyakit ini mula dikesan pada tahun 1956 di Minamata iaitu sebuah bandar perindustrian yang kecil di Kumamoto Prefecture. Di sini terdapat sebuah kilang bahan kimia iaitu Chisso yang telah melupuskan hasil buangan yang mengandungi merkuri ke perairan Minamata.

Penyakit Minamata terjadi kali kedua pada tahun 1965 di Niigata Prefecture hasil buangan methylmerkuri oleh Showa Denko Corporation ke sungai Agano.

Pencemaran terbesar keempat di Jepun berlaku di bandar petroleum iaitu Yokkaichi, Mie Prefecture hasil sulfur dioxide yang dilepaskan ke udara oleh Showa Yokkaichi Oil. dan mengakibatkan penyakit asma yang dikenali sebagai Yokkaichi Asthma.

Jepun mengimport 58 juta tan makanan setahun dan 19 juta atau bersamaan dengan 1/3 daripadanya dibuang sebagai sisa makanan.

Pada zaman dahulu, orang Jepun sangat mensyukuri, menghargai dan tidak melakukan pembaziran kerana semangat mottainai yang telah ditanam dalam diri mereka. Semangat mottainai mengajar mereka menghormati segala benda dan menganggap semua benda ini ada jiwanya dan ada peranannya dijadikan di dunia. Oeh kerana itu, semua benda perlu digunakan sebaiknya tanpa membazir.

Sebagai contoh, pakaian lama yang tidak dipakai lagi dijadikan sebagai lapik untuk tidur dan seterusnya dijadikan kain lap kaki dan seterusnya dibakar supaya abunya menjadi baja dan bahan pencuci.

Origami adalah seni kraftangan Jepun menggunakan kertas tanpa perlu menggunting bahagian yang tidak perlu. Seluruh kertas digunakan tanpa sebarang pembaziran.

Issey Miyake adalah seorang pereka fesyen antarabangsa yang berasal dari Jepun. Beliau telah kehilangan ibunya semasa berusia 7 tahun akibat kesan radioaktif hasil bom yang dijatuhkan di Hiroshima. Kejadian ini mendorong beliau untuk mencipta sesuatu yang boleh mencantikkan dan menggembirakan orang ramai dan mendedikasi hidupnya kepada sesuatu yang boleh dicipta dan bukan dimusnahkan. Rekaan beliau menggunakan setiap perca kain yang dipotong tanpa sebarang pembaziran, penjagaan yang mudah, tahan lama, disamping memastikan si pemakai selesa dan bergaya. Rekaan Issey Miyake mewakili semangat mottainai dan sikap orang Jepun yang suka mencipta dan mengkaji untuk penambahbaikan.

Sehinggalah berlakunya krisis minyak ke-2 pada tahun 70an, Jepun seakan tersedar dari kealpaannya dan telah melaksanakan undang-undang seperti enakmen Energy Conservation Law and Energy Conservation and Recycling Support Law. Ketika ini kereta mini (keisha) dan kereta yang jimat minyak dibuat dengan aktif sekali. Langkah ini berjangkit ke negara lain dan kini langkah penjimatan tenaga serta pengurangan penggunaan tenaga boleh dilihat di seluruh dunia.

Pada tahun 1995 telah mula ada langkah-langkah untuk menghapuskan penggunaan beg plastik tetapi mengambil masa yang lama untuk menyebarkan usaha ini di seluruh Jepun.

Masuk era millenium, kerajaan Jepun mengambil langkah dengan menggunakan media seperti radio, televisyen, internet dan bahan cetakan untuk membangkitkan semula semangat mottainai di kalangan masyarakat Jepun.

Ketika ini banyak rancangan televisyen berkenaan ubahsuai rumah gaya minimalis, membaiki pakaian dan perabot lama menjadi sesuatu yang lebih berguna dan mendidik budaya guna semula.

Tidak setakat itu sahaja, semangat mottainai diajar sehingga ke meja makan dengan rancangan masakan yang mengajar menu menyediakan makanan dalam kuantiti yang sedikit, tidak menggunakan bahan dan masa yang banyak serta menggunakan (sebolehnya) seluruh bahan masakan tanpa membuangnya.

Selain didikan di sekolah, kerajaan juga menyiarkan rancangan dan bahan cetakan untuk mengajar kanak-kanak dirumah untuk tidak membazir serta menjaga barang masing-masing. Kerajaan Jepun menggunakan cara ini kerana mahu menjadikan semangat mottainai ini sebagai satu trend supaya semua rakyat teruja untuk mengikutinya.

Jepun adalah negara yang padat penduduknya tetapi terhad sumber alamnya. Mereka telah merasai menjadi kuasa dunia paling kuat pada suatu masa dahulu. Keperluan asas mereka hampir telah dipenuhi dan kini mereka mencari kepuasan spiritual dan mental. Mereka mula sedar dengan kekurangan sumber negara mereka dan dengan semangat mottainai ini banyak tindakan drastik telah diambil dan kini Jepun adalah antara 3 negara yang terbaik dalam kategori penggunaan tenaga secara efisyen.

Kini, semangat mottainai yang berasal dari Jepun ini telah menjadi ikutan oleh negara lain dan mottainai telah menjadi bahasa antarabangsa yang difahami dan digunakan oleh seluruh dunia.

Bagi anda yang telah menjejakkan kaki ke Jepun, segala perkara baik yang anda perhatikan di sana, janganlah disia-siakan. Kita boleh praktikkan di tanah air tercinta dan mengambil semangat mottainai orang Jepun ini untuk kebaikan dan kemajuan negara kita Malaysia.

Perkara mudah yang boleh kita lakukan adalah bermula di rumah. Contohnya seperti:

1) Mengurangkan pembuangan sisa makanan dan sampah dengan cara membeli ikut keperluan sahaja.

2)Memelihara kebersihan air dengan cara menggunakan perangkap sisa minyak, mengasingkan sisa makanan, memastikan hanya sisa tertentu sahaja dialirkan ke longkang dan kawasan kumbahan.

3)Mengetahui dan membuat pelupusan barangan isi rumah yang mengandungi bahan kimia dengan cara yang betul dan boleh dibaca di sini:

http://www.pengguna.org.my/index.php/panduan/hijau/753-melupuskan-barangan-isirumah-dengan-selamat

4)Belajar untuk membaiki dan guna semula.

5)Memberi barang milik sendiri yang tidak digunakan kepada mereka yang lebih memerlukan.

6)Mendidik anak-anak untuk tidak melakukan pembaziran dan menjaga barang dengan baik dan banyak lagi perkara lain yang boleh kita lakukan.

Selamat Hari Malaysia ke-54 tahun!