UNDISCOVERED JAPAN, SURPRISING SHIKOKU TRIP: Ikegawa Chaen, Green Tea of Pure Niyodo Blue

Teh Tosa telah dihasilkan sejak 400 tahun dahulu dan sebanyak 38% pengeluaran Teh Tosa adalah dari bandar Niyodogawa. Kepentingan minum teh adalah sama seperti kepentingan mengambil makanan harian. Oleh kerana itu, teh adalah sangat penting dalam kehidupan seharian orang Jepun pada masa dahulu.

Bandar Niyodogawa tidak terkecuali dari mengalami masalah depopulasi seperti bandar-bandar kecil dan terpencil yang lain di Jepun. Maka, sekumpulan wanita yang diketuai oleh Yuki Yamanaka-san telah bekerja keras bersama rakan-rakan wanitanya yang lain untuk menghidupkan kembali kawasan ini.

Yuki Yamanaka-san iaitu Presiden Ikegawa Chaen telah mengasaskan Ikegawa Chaen bersama rakan-rakan wanitanya dan mereka ini berkahwin dengan para petani yang mengusahakan ladang teh di bandar Niyodogawa.

Mereka menerokai penggunaan teh di dalam penghasilan produk baru yang ada nilai komersial. Yuki Yamanaka-san telah mendapat idea baru iaitu puding teh.

Agak sukar pada mulanya untuk membuat puding dengan menggunakan teh kerana sekiranya salah sukatan, puding tidak akan menjadi. Namun mereka tidak berputus-asa sehinggalah akhirnya mereka menemui sukatan yang sesuai.

Usaha mereka ini mendapat perhatian dan kerjasama oleh Kochi Agricultural Development and Extension Center dan mereka telah berjaya membuka sebuah syarikat yang dinamakan Ikegawa Chaen dan mula melancarkan pengeluaran dan penjualan produk.

Mereka memasarkan produk ke hotel tempatan dan mendapat sambutan yang menggalakkan kerana rasanya yang sedap serta rupa dan bentuknya yang menyelerakan. Ikegawa Chaen juga turut memasarkan produk mereka di internet serta di kafe mereka.

Kafe Ikegawa Chaen terletak berhadapan dengan Niyodogawa (Sungai Niyodo) atau gelarannya Niyodo Blue yang menjadi kebanggaan penduduk tempatan kerana ianya adalah antara 18 buah sungai yang sangat berkualiti di Jepun.

Mereka menggunakan air berkualiti tinggi yang berpunca dari Niyodogawa untuk ladang teh mereka yang terletak di sepanjang sungai ini. Air yang berkualiti tinggi ini menghasilkan teh yang segar dan mempunyai kualiti yang premium. Ini adalah sangat penting bagi orang Jepun kerana bagi mereka, untuk menghasilkan produk makanan atau minuman yang bermutu tinggi ia hendaklah bermula dari asas tanaman itu sendiri. Ini merangkumi aspek penjagaan tanaman iaitu pengunaan punca air yang berkualiti tinggi, tanah yang subur dan cuaca yang sesuai.

Teh bermutu tinggi hanya hidup subur di kawasan yang perbezaan suhu siang dan malamnya sangat ketara seperti di kawasan bandar Niyodogawa ini.

Di kafe ini, anda akan boleh menikmati minuman teh bersama produk manisan sambil menikmati pemandangan Niyodogawa yang sangat cantik.

Produk Ikegawa Chaen juga telah bertambah dengan penghasilan beberapa jenis kek, aiskrim, parfaits, ganache dan coklat yang turut menggunakan teh selain puding teh. Mereka juga mempunyai produk keluaran khas bagi setiap musim.

Produk mereka yang paling laris adalah chabatake purin yang bermaksud puding ladang teh. Bahan yang digunakan adalah produk tempatan dan dari sumber semulajadi seperti madu dan susu. Menariknya, puding ini tidak menggunakan telur dalam proses pembuatannya.

Sebelum ini, para petani mengusahakan ladang teh untuk membuat serbuk teh minuman sahaja, namun kini mereka telah berjaya mempelbagaikan produk dari teh dengan menghasilkan pelbagai jenis manisan.

Yuki Yamanaka-san mempunyai cita-cita yang besar untuk menjadi usahawan yang berjaya seperti Yataro Iwasaki iaitu pengasas Mitsubishi. Beliau juga mahu memperkenalkan nama bandar Niyodogawa kepada dunia.

Ikegawa Chaen berhasrat untuk memberikan teh Tosa terbaik hasil tanaman mereka sendiri yang digunakan dalam pembuatan manisan ini supaya dapat membuatkan pelanggan memberikan senyuman manis selepas merasai manisan ini. Oleh kerana itu, mereka memilih untuk menghasilkan manisan.

Sekiranya anda ke Kochi, silakan ke kafe Ikegawa Chaen. Semoga anda akan tersenyum selepas meminum teh Tosa dan manisan hasil Ikegawa Chaen dan ingatlah yang anda juga membuatkan Kochi tersenyum juga.

Bagi penggemar ocha atau teh hijau, saya rekomen untuk datang sendiri ke kafe Ikegawa Chaen ini untuk merasai sendiri teh dan manisan berasaskan teh hasil dari Niyodogawa ini kerana rasanya yang sangat menyegarkan. Terdapat sejenis teh di sini yang rasanya lebih mudah untuk diminum dan kurang rasa pahit bagi yang tidak berapa gemar rasa teh Jepun yang pekat. Istimewa bagi yang minum teh di kafe ini, ianya dibancuh menggunakan air sungai Niyodo.

Alamat:

〒781-1606 Kōchi-ken, Agawa-gun, Niyodogawa-chō, Doi, 695-4

Waktu operasi: 10AM-6PM

No. Telefon: 0889-34-3100

Website: ikegawachaen.jp

Akses:

Selain memandu, anda boleh menaiki keretapi dari Kochi Station, turun di Sakawa Station, naik bas menghala ke Ikegawa dan turun di hentian Igedani.

Sedikit video dan gambar semasa kami ke Ikegawa Chaen boleh dilihat di sini:

Semoga tips ini membantu perancangan perjalanan anda, terima kasih.