UNDISCOVERED JAPAN, SURPRISING SHIKOKU TRIP: Shimantogawa, Japan’s Last Pristine River

Shimantogawa atau Sungai Shimanto dan dalam tulisan kanji adalah 四万十 yang bermaksud empat puluh ribu sepuluh.

Semasa berbual dengan penduduk tempatan di sini, beliau mengatakan dalam bahasa Ainu (penduduk asal Jepun dan Rusia di bahagian Sakhalin) shimanto bermaksud sungai yang sangat cantik. Beliau juga mempercayai bahawa orang Ainu pernah menetap di situ kerana terdapat beberapa penemuan budaya Ainu di Shikoku. Namun, terdapat juga beberapa pendapat yang berlainan bagi maksud shimanto.

Shimantogawa adalah sungai terpanjang di kepulauan Shikoku sepanjang 196 km meliputi 2270 km² kawasan. Manakala, sungai kedua terpanjang di Shikoku adalah Yoshinogawa (Sungai Yoshino). Shimantogawa adalah berpunca dari Irazuyama atau Gunung Irazu.

Kawasan di sepanjang sungai ini, diliputi dengan hutan tebal, tiada bandar besar, tiada kawasan perindustrian dan seterusnya tiada empangan dibina di sini. Faktor ini menjadikan air yang bersih mengalir di sepanjang sungai ini hingga ke laut.

Selain itu, para penduduk di sini pula sentiasa bekerjasama dan berusaha untuk memastikan Shimantogawa ini terus terpelihara dan ini menjadikan ianya digelar sebagai sungai terakhir yang tidak tercemar di Jepun.

Keistimewaan lain Shimantogawa adalah ianya mempunyai 47 buah chinkabashi iaitu jambatan yang rendah dan tidak mempunyai penghadang bagi menjadikan ianya tahan lasak dari dibawa arus sungai yang deras terutamanya ketika banjir berlaku.

Shimantogawa mempunyai 94 jenis ikan sungai dan boleh dikatakan semua ikan sungai yang ada di Jepun boleh ditemui di sini.

Para nelayan di sini masih menggunakan cara tradisional untuk menangkap ikan, belut, ketam dan rumpai laut bagi mengelakkan ekosistem terganggu.

Mereka mengadakan upacara keagamaan yang istimewa bagi menyucikan air sungai ini pada masa-masa tertentu.

Cara penduduk di sini memelihara dan menjaga Shimantogawa menunjukkan hubungan harmoni dan kebergantungan mereka dengan sungai ini. Perkara seperti ini tidak dapat dilihat lagi di tempat-tempat lain di Jepun.

Oleh kerana itu, ia dianggap sebagai satu-satunya sungai yang tidak tercemar di Jepun selain turut dipilih sebagai “3 Clear Flowing Rivers in Japan” bersama Sungai Nagara di Gifu Prefecture dan Sungai Kakita di Shizuoka Prefecture.

Menariknya, ketika kami lawat salah satu dari chinkabashi ini, terdapat satu bahagian yang kaki jambatannya mendap ke dalam dan menyebabkan akses ke jambatan tersebut ditutup untuk kerja-kerja pembaikan. Menurut penduduk di sini, kedatangan taufan Lan sebulan sebelum kami tiba telah menyebabkan keadaan ini, namun agak menakjubkan kerana jambatan ini masih kukuh dan tidak roboh. Kerja pembaikan juga akan memakan masa kerana mereka perlu membuat pemerhatian keadaan bawah dasar sungai tersebut.

Terdapat banyak tapak perkhemahan, aktiviti berbasikal, berenang, piknik, kayak, menaiki sampan, bot mahupun kapal layar dan juga memancing dengan cara tradisional seperti to-ami dan hiburi-ryo.

To-ami adalah cara menangkap ikan dengan menggunakan jala untuk menangkap sekumpulan ikan ayu. Manakala, hiburi-yo adalah cara menangkap ikan pada waktu malam dengan menggunakan suluhan lampu suluh untuk mengarahkan ikan agar masuk ke dalam jala. Kedua-dua aktiviti ini boleh disertai ketika musim panas dan luruh.

Di Jepun, antara kajian kursus bagi kanak-kanak sekolah rendah adalah seperti membandingkan sungai di tempat mereka menetap dengan Shimantogawa yang selalu dijadikan model untuk kerja kursus sebegini.

Kanak-kanak sekolah rendah diajar untuk berfikir, bagaimana untuk menaikkan kualiti sungai dan menjaganya. Selain itu, mereka juga dikehendaki untuk memikirkan tanggungjawab dan sumbangan yang boleh mereka lakukan untuk kebaikan dan masa hadapan sungai di tempat mereka.

Beberapa video dan gambar yang saya ambil semasa ke Shimantogawa boleh dilihat di sini:

Akses: Nakamura Station di Tosa Kuroshio Line atau JR Ekawasaki di Shikoku Railway’s Yodo Line