UNDISCOVERED JAPAN, SURPRISING SHIKOKU TRIP: Shikoku Karst

Dari Niyodagawa kami memandu ke Shikoku Karst yang terletak di antara Niyodogawa, Tsuno dan Yusuhara.

Karst adalah topografi yang terbentuk hasil daripada hakisan batu yang boleh larut seperti batu kapur, dolomit dan gipsum.

Menariknya, karst yang terbentuk di sempadan Kochi dan Ehime ini adalah hasil daripada hakisan gunung batu kapur atau limestone dan akhirnya memberi bentuk yang kelihatan seperti tompok-tompok putih yang meliputi kawasan sepanjang 25 km dari timur ke barat. Ianya adalah antara 3 karst terbesar di Jepun selain Akiyoshidai di Yamaguchi Prefecture dan Hiraodai di Fukuoka Prefecture. Di Akiyoshidai dan Hiraodai anda boleh melihat karst yang membentuk gua batu kapur.

Shikoku Karst adalah yang tertinggi di antara 3 karst terbesar di Jepun dengan altitude lebih dari 1400 meter. Di sini, anda juga akan dapat menikmati pemandangan yang memukau iaitu berlatarbelakangkan Gunung Ishizuchi; gunung yang tertinggi di kepulauan Shikoku selain gunung-ganang lain di sekelilingnya. Pemandangan di sini berubah-ubah mengikut musim dan setiap musim mempunyai keistimewaan masing-masing.

Semasa pengembaraan kami di musim luruh baru-baru ini, pemandangan di sini seakan berwarna keemasan dengan pancaran matahari dan menampakkan susuk gunung-ganang yang saujana mata memandang. Cuaca ketika itu juga dingin tetapi tidak terlalu sejuk dengan udara segar yang menyamankan.

Shikoku Karst juga adalah tempat penternakan lembu tenusu iaitu di kawasan Tengu Plateau tetapi semasa kami ke sini, tidak ada seekor lembu pun yang kelihatan disebabkan musim sejuk yang hampir tiba dan salji yang turun 2 hari sebelum ketibaan kami. Pada musim sejuk sebegini, lembu-lembu ini dimasukkan di dalam bangsal supaya tidak mendapat penyakit.

Pada waktu malam, sekiranya cuaca baik dan langit cerah, anda mungkin bertuah untuk melihat gugusan bintang di langit kerana kawasan tanah yang tinggi serta gelap dan jauh dari sinaran lampu yang mengganggu cahaya bintang.

Kebiasaannya, pada waktu tengah malam di musim panas pula, anda akan berpeluang untuk melihat fenomena milky way yang terjadi di malam yang cerah tanpa kehadiran awan dan apabila segugusan bintang yang dikelilingi gas juga terletak pada piring galaksi bima sakti.

Pada waktu pagi pula, anda boleh menikmati fenomena unkai atau sea of clouds berlatarbelakangkan pemandangan gunung-ganang yang kelihatan seperti terapung kerana dikelilingi sekumpulan awan.

Kami menginap di Tenguso Ryokan iaitu satu-satunya ryokan di puncak Tengu Highland. Ryokan ini agak unik kerana ianya dibina di atas sempadan tanah Kochi dan Ehime Prefecture. Di dalam ryokan ini, anda boleh melihat garisan sempadan yang memisahkan bahagian ryokan ini dan garisan ini bersambung sehingga ke luar ryokan.

Di ryokan ini ada disediakan kemudahan sauna dan kolam air panas atau ofuro untuk lelaki dan wanita. Anda boleh menikmati pemandangan matahari terbit sambil berehat di dalam ofuro. Cuma, ofuro ini adalah untuk kegunaan umum. Pilihlah masa yang sesuai seperti di awal pagi sebelum matahari terbit dan ketika tengah malam sekiranya anda mahu menggunakan ofuro secara privasi.

Tiada kedai di Shikoku Karst, tetapi di ryokan terdapat kemudahan restoran, kedai serbaneka dan cenderahati.

Wifi juga tidak ada kerana ryokan ini terletak tinggi di atas kawasan puncak gunung. Anda boleh isi aktiviti seharian dengan mendekatkan diri dengan alam semulajadi di sini. Terdapat observatory deck dan hiking track berhampiran hotel ini selain melihat pemandangan karst dan padang ragut.

Selesai melawat Shikoku Karst, kami memandu ke Yusuhara iaitu sebuah pekan yang paling maju di antara pekan-pekan lain yang terpencil di Kochi ini dan seterusnya ke Shimantogawa.

Beberapa video dan gambar Shikoku Karst dan Togenso Ryokan semasa trip kami baru-baru ini boleh dilihat di sini:

Semoga tips ini membantu perancangan perjalanan anda ke kepulauan Shikoku. Terima kasih.

Tinggalkan Balasan