UNDISCOVERED JAPAN, SURPRISING SHIKOKU TRIP: Togenkyo Iya No Yamazato

Pada malam ini, kami memilih penginapan yang istimewa iaitu rumah beratap jerami atau dikenali sebagai kayabuki di kawasan pergunungan Iya di Tokushima. Perjalanan menaiki kereta dari kawasan Oboke Sightseeing Cruise dengan melalui jalan yang sempit mengambil masa kira-kira 1 jam.

Stok makanan malam kami beli semasa dalam perjalanan kerana di kawasan ceruk kampung sebegini, sukar ditemui kedai runcit.

Saya ada ambil gambar dan rakam sedikit video supaya anda boleh lihat betapa sempitnya jalan di sini. Ianya adalah jalan 2 hala. Kereta yang paling besar dan saya rekomen untuk masuk ke kawasan ini adalah seperti MPV Honda Step Wagon.

Video dan gambar yang saya ambil semasa di Togenkyo Iya No Yamazato boleh dilihat di sini:

Alex Kerr pada tahun 1970-an adalah pelopor utama yang membangunkan rumah petani beratap jerami ini dan menjadikannya sebagai guesthouse atau rumah tumpangan bagi membantu masalah depopulasi penduduk di kawasan luar bandar.

Beliau telah menemui kawasan ini pada tahun 1971 di kawasan yang juga dikenali sebagai Japan’s Grand Canyon. Lembah Iya adalah sangat tersorok dan menjadi kawasan persembunyian semasa peperangan Genji/Heike atau dikenali sebagai Genpei War pada tahun 1180-1185 dan sehingga kini masih ada penduduk di sini yang menggunakan dialek zaman Heian.

Pada tahun 1973, Alex Kerr telah membeli sebuah rumah lama yang telah ditinggalkan dan dipercayai telah didirikan tahun 1720-an.

Rumah petani di Lembah Iya bercirikan lantai kayu, mempunyai irori (dapur tanah di tengah-tengah rumah yang digunakan untuk memasak dan memanaskan dalam rumah), mempunyai tiang seri dan pasak yang besar dan kayu-kayu ini telah bertukar warna menjadi hitam kesan dari asap pembakaran di irori.

Rumah tersebut dikenali sebagai Chiiori yang bermakna rumah seruling dan berusia lebih dari 300 tahun. Beliau telah membaiki rumah ini dengan dibantu beberapa orang kawan dan siap membaiki atap jeraminya pada tahun 1980-an.

Pada tahun 1999 Alex Kerr dan beberapa orang kawannya telah menubuhkan Projek Chiiori bagi menghidupkan semula Lembah Iya dengan aktiviti pelancongan, pertanian organik serta berkongsi pengalaman bersama pelancong yang datang ke sini dengan aktiviti semulajadi dan kehidupan seharian sebagai petani di sini.

Pada tahun 2005, Projek Chiiori telah didaftarkan sebagai Non-Profit Organization oleh Tokushima Prefecture dan pada tahun 2007 telah ditukarkan nama menjadi Chiiori Trust dan bekerjasama dengan Bandar Miyoshi untuk membangunkan beberapa rumah atap jerami yang lain bagi tujuan yang sama.

Rumah yang saya menginap ini adalah di bawah pengurusan Bandar Miyoshi dan dikenali sebagai Togenkyo Iya No Yamazato dan jenis rumah yang saya pilih adalah tanzan yang mempunyai loteng di atasnya.

Terdapat lebih kurang 10 buah rumah semuanya dan pada musim sejuk ianya ditutup kerana agak bahaya untuk ke sini dengan jalanraya yang sempit dan dipenuhi salji.

Sebelum ke rumah, anda perlu ke pejabat pengurusannya terlebih dahulu untuk mendapatkan kunci rumah yang merupakan nombor kata kunci.

Sekiranya anda memilih untuk tidur di tempat lain, anda masih boleh datang membuat lawatan ke Chiiori untuk melihat rumah yang bersejarah dan membawa perubahan besar kepada ekonomi dan kehidupan penduduk di Lembah Iya ini.

Penempahan untuk lawatan boleh hubungi link ini:

http://www.chiiori.org/day_visit/day_visit.html

Tempahan rumah untuk bermalam boleh dibuat di sini:

http://www.tougenkyo-iya.jp/stay/stay_style_en.html

atau di beberapa website penempahan hotel yang lain.

Menariknya, pada waktu pagi kita akan menikmati unkai atau sea of clouds.

Saya pernah tulis artikel untuk Lembah Iya dan rumah atap jerami dan boleh baca di sini:

https://shemazack.com/ooboke-iya-valley/

https://shemazack.com/kayabuki/

Semoga tips ini membantu perancangan percutian anda, terima kasih.