UNDISCOVERED JAPAN, SURPRISING SHIKOKU TRIP: Iya Valley

Lembah Iya atau Iya Valley terjadi hasil dari kesan laluan Sungai Yoshino atau Yoshinogawa iaitu sungai kedua terpanjang di Shikoku selepas Sungai Shimanto sepanjang 194km dan satu-satunya sungai yang mengalir ke empat buah negeri di Shikoku iaitu Tokushima, Ehime, Kochi dan Kagawa.

Yoshinogawa adalah antara “3 Buah Sungai Paling Hebat di Jepun” dan digelarkan sebagai Shikoku Saburō (四国三郎; Saburō adalah gelaran kepada anak ketiga).

Gambar dan video yang saya ambil boleh dilihat di sini:

Yoshinogawa adalah berpunca dari Gunung Kamegamori, Kochi dan mengalir ke arah timur. Di Otoyo, sungai ini mengalir ke arah utara dan melintasi gunung-ganang di Tokushima lalu membentuk Oboke dan Koboke Gorge.

Di Ikeda, sungai ini beralih ke arah timur semula dan membentuk sungai yang luas dan dalam dan mengalir sehingga ke bandar Tokushima. Sungai di kawasan ini digunakan sebagai pengangkutan balak dan hasil dari indigo dyed products yang sangat terkenal dari Tokushima ini. Hasil senibina zaman Edo masih boleh dilihat di beberapa bandar di sepanjang sungai ini kerana kemewahan penduduk ini pada satu ketika dahulu hasil dari produk mereka ketika itu.

Iya Valley adalah antara 3 buah kawasan yang kurang diterokai di Jepun selain Shirakawago dan Shiiba. Iya Valley memang benar-benar sangat kurang diterokai kerana sehingga kini anda tidak akan melihat bas pelancongan melalui kawasan ini selain bas persiaran yang digelar sebagai Bonnet Bus. Keadaan ini sangat berbeza dengan Shirakawago kerana kini ia menerima jumlah pelancong yang tinggi.

Pada zaman dahulu, Iya Valley merupakan kawasan persembunyian samurai terutamanya dari kalangan kumpulan Heike atau Taira yang telah tewas dalam peperangan Genpei War pada abad ke 12.

Lembah Iya terbahagi kepada Nishi-Iya (西祖谷 Iya Barat), Higashi-Iya (東祖谷 Iya Timur) dan Oku-Iya (奥祖谷 Iya Pedalaman).

Dalam perjalanan anda akan melihat rumah-rumah yang terbiar ditinggalkan.

Nishi-Iya adalah yang paling sibuk kerana sala satu tempat pelancongan iaitu Kazurabashi terletak di sini.

Higashi-Iya adalah ibarat pusat bandar di mana terletaknya kemudahan bandar ini. Di sini juga terletaknya Ochiai (落合) yang terletak dalam kawasan penting pemuliharaan kerajaan kerana mempunyai banyak rumah tradisional, kawasan pertanian yang bertingkat di lereng bukit dan laluan perjalanan sejak zaman dahulu kala iaitu laluan umrah 88 buah kuil atau dikenali sebagai The Shikoku Pilgrimage (四国遍路, Shikoku Henro) atau Shikoku Junrei (四国巡礼) yang dikaitkan dengansami Buddha Kūkai (Kōbō Daishi).

Bagi peminat aktiviti hiking, Mi-no-Koshi (見ノ越) yang terletak di kaki Mt. Tsurugi dan persimpangan 3 buah jalan adalah tempat yang menarik untuk dikunjungi.

Mt. Tsurugi adalah bermaksud pedang dan ketinggiannya adalah 1,954.7-meter dan terletak di sempadan Miyoshi, Mima dan Naka di Tokushima Prefecture. Mt. Tsurugi adalah antara 100 buah gunung yang terkenal di Jepun.

Tempat-tempat yang saya lawati di Iya Valley adalah seperti Manneken Pis, Hinoji (berbentuk seperti huruf hiragana ひ “hi”), Iya Onsen, Nijubashi (Double Vine Bridges) dan Nagoro atau Scarecrow Village. Saya akan ceritakan mengenai Nijubashi, Iya Onsen dan Nagoro dalam artikel selepas ini.

Manneken Pis ini dibina di sini kerana dikatakan pada zaman dahulu kanak-kanak tempatan di sini akan buang air kecil dari sini bagi menguji keberanian kerana ketinggian tebing ini adalah 200m. Sekiranya anda menaiki pengangkutan awam, ini adalah maklumat untuk ke Manneken Pis:

Menaiki Shikoku Kotsu Bus hala ke Kazura-bashi dari JR Awa Ikeda Station dan turun di hentian Furonotani.

Untuk ke Awa Ikeda, ada bas dan juga keretapi dari Tokushima Station (Tsurugisan Ekspres), Kochi Station (Shimanto Ekspress dan Nanpu Ekspress ke Oboke Station) dan Takamatsu Station (Shimanto Ekspress) atau menaiki bas dari Osaka (3 jam 45 minit), Kobe (2 jam 50 minit).

Sekiranya memandu kereta sewa sendiri, anda harus berhati-hati kerana keadaan jalan yang sempit di sini dan adalah untuk 2 hala, tetapi tidak perlu risau kerana ada beberapa tempat untuk memberi laluan kepada kereta dari arah bertentangan. Convex mirror juga ada di setiap selekoh utk keselamatan, cuma pastikan bawa dalam had laju yang telah ditetapkan, lebih berhati-hati di kawasan selekoh dan elakkan dari memandu semasa keadaan gelap.

Selain menaiki pengangkutan awam atau memandu kereta sewa, anda juga boleh membayar perkhidmatan teksi untuk bersiar-siar di semua tempat menarik di Iya Valley dan maklumat lanjut boleh baca di link ini:

http://iya-taxi.jp/en/course/

atau menaiki bonnet bus:

http://www.yonkoh.co.jp/pdf/catalog/th_150214.pdf

Ini adalah peta yang menunjukkan tempat-tempat menarik di kawasan ini:

http://oboke-iya.jp/pdf/oboke-iya_map_en.pdf

Semoga tips ini membantu perancangan percutian anda.