UNDISCOVERED JAPAN, SURPRISING SHIKOKU TRIP: Iya Onsen

Trip kami di Tokushima Prefecture berakhir di Hotel Iya Onsen kerana mulai keesokan harinya kami akan memasuki kawasan Kochi Prefecture pula.

Hotel Iya Onsen adalah satu-satunya hotel yang beroperasi di Iya Valley dan mempunyai onsen atau punca air panas semulajadi. Kedudukan hotel ini adalah tidak jauh dari Hinoji dan Manneken Pis.

Maklumat lanjut hotel ini:

Hotel Iyaonsen

367-2 Matsumoto, Ikeda-cho, Matsuo, Miyoshi-shi, Tokushima Prefecture

TEL:+81 883-75-2311

https://www.iyaonsen.co.jp/en/

Pilihan lain untuk penginapan yang mempunyai onsen di kawasan berdekatan adalah di Oboke dan Koboke.

Dari hotel ini, kami turun menaiki kereta kabel yang agak curam untuk turun ke bawah kerana onsen berada berdekatan dengan sungai Iya.

Pakej yang kami ambil telah termasuk kos kereta kabel. Sekiranya tidak mengambil pakej, kos untuk turun naik menggunakan kereta kabel ini adalah 1700 yen untuk dewasa dan 900 yen untuk kanak-kanak. Kereta kabel ini akan turun dengan anggaran kecerunan 42 darjah bagi jarak 170 meter dan mengambil masa selama 5 minit sahaja.

Onsen ini terbahagi kepada tiga iaitu private onsen, public open onsen untuk lelaki dan juga untuk wanita. Kami memilih private onsen dan bayaran tambahan dikenakan untuk menyewa private onsen ini selama 60 minit.

Selesai berendam di onsen, kami menaiki semula kereta kabel untuk menuju ke restoran dan menikmati hidangan di sana sebelum beristirehat. Hidangan makanannya adalah merupakan Iya soba dan mee soba di sini adalah pendek dan tebal. Selain itu, kami dihidangkan dengan tempura, nasi, rumpai laut, jeruk, ikan ayu yang di panggang dan juga makanan yang popular ketika musim luruh dan sejuk iaitu nabe atau stimbot.

Gambar-gambar dan video yang sempat saya ambil boleh di lihat di sini:

Selain menginap di sini, ada pilihan lain iaitu ambil pakej day trip samada termasuk makanan atau tanpa makanan. Untuk yang mengambil pakej termasuk makanan, sila maklumkan mengenai apa yang anda tidak boleh makan terlebih dahulu dengan cara menelefon atau e-mail kepada pihak hotel.

Sekiranya melawat negara Jepun, sila alami pengalaman menginap di onsen ryokan atau hotel kerana layanan yang anda terima di sini sangatlah istimewa.

Saya pernah menulis artikel tentang onsen dan anda boleh baca di link ini:

https://shemazack.com/japanese-hot-spring-onsen/

Semoga perkongsian saya ini serba-sedikit dapat membantu dalam merancang percutian anda ke Jepun.

Terima kasih.