UNDISCOVERED JAPAN, SURPRISING SHIKOKU TRIP: Sakamoto Ryoma & Kochi / Tosa

Kochi atau nama lamanya Tosa adalah sangat bersejarah bagi orang Jepun kerana ianya adalah tempat kelahiran Sakamoto Ryoma.

Siapakah Sakamoto Ryoma?

Sakamoto Ryoma dianggap sebagai Bapa Pemodenan Jepun dan menyumbangkan kepada kejatuhan kerajaan pemerintahan Shogun Tokugawa yang telah memerintah Jepun lebih dari 260 tahun. Selain bijak dalam politik, beliau juga mahir dalam seni lawan pedang serta perniagaan.

Sakamoto Ryoma dilahirkan pada 3 Januari 1836. Keluarga beliau adalah golongan samurai kelas bawahan. Di Tosa, jurang antara samurai kelas atasan (joshi) dan bawahan (kashi) ini adalah sangat ketara. Layanan yang mereka terima adalah tidak adil dan kawasan kediaman mereka juga diasingkan.

Sakamoto Ryoma memulakan pekerjaannya sebagai seorang pemain pedang dan beliau merantau ke Edo (Tokyo) untuk mengasah bakatnya sebagai seorang pemain pedang sehinggalah beliau menerima pengiktirafan untuk kepakarannya itu.

Setelah tamat belajar pada tahun 1858, beliau pulang ke kampung halamannya di Tosa. Pada tahun 1862, salah seorang rakannya iaitu Takechi Hanpeita telah menubuhkan parti politik iaitu Tosa Loyalist Party (Kinnoto) yang di anggotai oleh seramai 2000 orang samurai yang kebanyakannya dari kelas bawahan. Parti ini membawa slogan “Revere the Emperor, Expel the Foreigners” (sanno-joi).

Walaubagaimanapun, pemerintah Tosa ketika itu menolak untuk mengiktiraf kumpulan ini dan menyebabkan mereka merancang untuk pembunuhan Yoshida Toyo. Yoshida Toyo adalah salah seorang samurai Tosa yang dilantik untuk membawa pembaharuan dan memodenkan puak Tosa. Rancangan mereka untuk membunuh Yoshida Toyo berjaya selepas Ryoma melarikan diri dari Tosa dan meninggalkan rakannya kerana perbezaan pendapat.

Sakamoto Ryoma mahukan revolusi dibawa ke seluruh Jepun manakala rakannya pula cuma mahu menumpukan di Tosa sahaja. Pada zaman itu, tidak ada orang dibenarkan untuk meninggalkan puak mereka tanpa kebenaran atau akan dikenakan hukuman bunuh.

Semasa Sakamoto Ryoma melarikan diri, kakaknya telah membunuh diri sebagai rasa tanggungjawab di atas tindakan yang telah diambil oleh adiknya.

Semasa menjadi ronin atau samurai tidak bertuan, Sakamoto Ryoma nekad untuk membunuh Katsu Kaishu iaitu salah seorang pegawai besar yang bekerja untuk kerajaan Shogun Tokugawa dan penyokong pada era kemodenan dan dasar barat.

Katsu Kaishi adalah seorang pembesar negara yang mempunyai latar belakang pendidikan Sains Ketenteraan Belanda dan Eropah serta pernah bekerja sebagai penterjemah bahasa semasa pihak Eropah memulakan perhubungan dengan Jepun. Semasa itu juga, beliau memahirkan diri dengan teknologi peperangan dari barat sehingga beliau telah dilantik menjadi ketua kadet tentera di Nagasaki Naval Academy. Katsu Kaishi adalah salah seorang yang dilantik untuk membawa arus pembaharuan dan kemodenan di Jepun.

Katsu Kaishi sangat pandai berdiplomasi dan telah berjaya meyakinkan Sakamoto Ryoma bahawa Jepun perlu membuka pintu kepada pihak luar bertujuan untuk memperkasakan kekuatan tentera dan teknologi serta kepakaran dari luar sebelum boleh memerangi mereka kembali tetapi pada masa yang sama, jati diri, agama dan budaya Jepun tetap akan terpelihara.

Sakamoto Ryoma yang pada mulanya berniat untuk membunuh Katsu Kaishi telah membatalkan tindakannya serta telah bekerja dan menjadi pelatih di bawah Katsu Kaishi, seorang lelaki yang kini beliau anggap hebat di Jepun.

Sakamoto Ryoma di bawah arahan Katsu Kaishi telah membuka akademi tentera laut di Kobe dan beliau serta ahli kadet lain mempelajari seni dan sains peperangan di situ.

Sakamoto Ryoma diibaratkan sebagai “Bapa Tentera Laut Di Raja Jepun” kerana semasa bekerja di bawah Katsu Kaishu beliau membentuk pasukan tentera laut yang moden dengan bantuan kuasa barat.

Pada tahun 1864, Sakamoto Ryoma menuju ke Kagoshima di kawasan pihak Satsuma yang bertindak sebagai pusat pergerakan anti kerajaan Shogun Tokugawa ketika itu.

Pada tahun 1866, Sakamoto Ryoma akhirnya telah berjaya menyatukan dua puak kerajaan tempatan yang paling berkuasa di Jepun iaitu Satsuma dan Choshu di bawah satu slogan yang sama iaitu sonno-joi yang seterusnya membawa kepada penamatan era pemerintahan kerajaan Shogun Tokugawa dan beralih kepada era kerajaan Meiji.

Walaubagaimanapun, slogan ini hanyalah retrotik semata-mata kerana pihak Satsuma sendiri mempunyai pertalian rapat dengan kuasa barat melalui pembelian senjata api, kapal dan pelbagai teknologi lain lagi. Sakamoto Ryoma berjaya mempengaruhi mereka supaya menerima teknologi dan kepakaran pihak luar untuk memperkasakan kekuatan ketenteraan bagi menentang pihak kerajaan Shogun Tokugawa dan seterusnya menghalau kembali kuasa luar ini dari menjejaki bumi Jepun.

Pada tahun 1867, Sakamoto Ryoma telah mengasaskan tentera laut dan syarikat perdagangan iaitu Kameyama Shachu di bandar Nagasaki dengan bantuan puak Satsuma.

Kemenangan puak Choshu ke atas askar Tokugawa pada tahun 1866 dan seterusnya membawa kepada kejatuhan kerajaan Shogun Tokugawa menjadikan Sakamoto Ryoma sebagai aset yang tidak ternilai bagi bekas tuannya di Tosa dan beliau dipanggil pulang ke Tosa dengan penuh penghargaan.

Kemudian, Sakamoto Ryoma juga bertindak sebagai pihak pengantara bagi mendesak perletakan jawatan Shogun Tokugawa Yoshinobu pada tahun 1867 dan membawa kepada permulaan pemerintahan zaman peralihan Meiji.

Sakamoto Ryoma mengamalkan prinsip demokrasi dan mempelajari serta menjadikan United States Congress dan British Parliament sebagai model tadbir urus kerajaan. Beliau juga menulis Eight Proposals While Shipboard disamping membincangkan mengenai model kerajaan Jepun akan datang.

Beliau telah memberikan beberapa garis panduan seperti mengadakan undang-undang pemilihan kerajaan secara demokrasi, membentuk perlembagaan, membentuk pasukan tentera kebangsaan dan laut serta peraturan untuk kadar pertukaran emas dan perak. Cadangan beliau ini telah dijadikan asas semasa sistem parlimen dibentuk selepas kematiannya.

Sakamoto Ryoma telah dibunuh pada 10 Disember 1867 di sebuah rumah rehat iaitu Omiya Inn di Kyoto tidak berapa lama sebelum kerajaan peralihan Meiji mengambil alih tampuk pemerintahan dan malam pembunuhan itu dikenali sebagai Omiya Incident. Mengikut kalendar bulan Jepun, beliau telah dibunuh pada hari kelahirannya dan pembunuhnya sehingga ke hari ini masih menjadi misteri. Beliau telah dibunuh bersama rakan baiknya iaitu Nakaoka Shintaro di luar kesedarannya kerana mereka telah diserang hendap semasa sedang berehat di situ.

Sakamoto Ryoma meninggalkan seorang balu iaitu Narasaki Ryo atau lebih dikenali sebagai Oryo dan seorang anak angkat iaitu Taro (anak kepada kakaknya yang telah meninggal dunia; Chizu).

Narasaki Ryo adalah seorang wanita yang berasal dari Kyoto dan bekerja di sebuah rumah rehat iaitu Teradaya Inn (gambar di bawah) dan pernah menyelamatkan nyawa Sakamoto Ryoma dan pasukannya dan mereka telah berkahwin tidak lama selepas kejadian tersebut.

Ketika itu, Narasaki Ryo sedang mandi lalu kedengaran bunyi kedatangan musuh dan beliau telah berlari ke bilik Sakamoto Ryoma dan pasukannya untuk memaklumkan kedatangan musuh tersebut. Sakamoto Ryoma sempat melarikan diri dengan sedikit kecederaan akibat serangan musuh dan mereka dikatakan telah melawat beberapa kawasan onsen di Kagoshima untuk proses pemulihan dan dianggap sebagai percutian bulan madu mereka.

Teradaya Inn masih boleh dikunjungi sehingga ke hari ini terletak di Fushimi, Kyoto.

Oryo juga sangat aktif membantu kegiatan suaminya dalam politik kerajaan Jepun. Sebagai penghargaan dan peringatan kepada Sakamoto Ryoma dan isterinya kepada kerajaan Jepun, asteroid 2835 telah dinamakan sebagai Ryoma dan asteroid 5823 dinamakan sebagai Oryo, isterinya. Selain itu, jasad beliau telah disemadikan di Yasukuni Shrine, lapangan terbang di Kochi juga telah dinamakan sebagai Kochi Ryoma Airport dan beberapa muzium serta arca juga telah dibina bagi memperingati jasa beliau kepada zaman kemodenan Jepun.

Antara tempat-tempat menarik yang saya lawati di bandar Kochi baru-baru ini adalah seperti beriku:

(*gambar-gambar saya ambil semasa di sana boleh dilihat di link di bawah ini:)

1) Kochi Castle

Kochi Castle adalah di antara 12 buah istana yang asli di Jepun dan merupakan satu-satunya istana yang masih mengekalkan honmaru yang asal.

Akses dari Kochi Station:

Anda boleh menaiki bas (200 yen/7 minit) Tosaden Kotsu Bus (arah Yoshino) dan turun di Kochijo Mae.

Saya syorkan anda menaiki Tosaden Tram iaitu tram yang telah beroperasi sejak tahun 1904. Sila beli Tosaden Tram 1 day pass-city bernilai 500 yen daripada pemandunya dan naik trm ini dari Kochi Station, transit di Harimayabashi dan turun di Kochijomae (15 minit).

Sekiranya anda memilih untuk berjalan kaki, masa perjalanan adalah kira-kira 25 minit.

Waktu lawatan: 9:00AM-5:00PM

Bayaran masuk: 420 yen

2) Katsurahama

Katsurahama adalah kawasan pantai yang terletak kira-kira 30 minit perjalanan dari Kochi Station. Walaubagaimanapun, aktiviti renang adalah di larang kerana merbahaya.

Di sini terdapat arca Sakamoto Ryoma, Muzium Memorial Sakamoto Ryoma dan juga Watatsumi Shrine.

Di Katsurahama Park juga terdapat sumo anjing yang dikenali sebagai Tosa Dog Fighting atau Tosa Token

Akses dari Kochi Station:

Anda boleh menaiki bas Kochiken Kotsu menuju ke Katsurahama (690 yen/35 minit).

Selain itu, anda boleh juga menaiki My Yu Bus iaitu bas untuk pelancong dari Kochi Station ke Katsurahama (1 jam) dan saya syorkan untuk membeli 1 day pass bernilai 500 yen.

3) Harimayabashi

Ini adalah mercu tanda terkenal di Kochi iaitu sebuah jambatan merah yang kecil dan menceritakan mengenai percintaan terlarang antara seorang sami dari Godaisan dan seorang gadis dari Kochi. Rahsia percintaan mereka terbongkar apabila sami ini di ketemui sedang membeli sikat rambut buat si gadis di Harimayabashi dan kedua-duanya telah dipaksa untuk keluar dari bandar ini untuk menyelamatkan diri dari dihukum. Oleh kerana itu, anda akan mendapati banyak kedai menjual cenderahati di sini turut menjual sikat rambut dan juga naruko iaitu alat muzik yang dipegang oleh para penari yosakoi. Asalnya, naruko adalah alat yang digunakan untuk menghalau burung di kawasan sawah padi.

Berhadapan dengan Harimayabashi adalah Harimayabashi Karakuri Tokei dan menariknya setiap 1 jam tepat akan keluar patung-patung comel menarikan tarian yosakoi yang berasal dari Kochi.

Akses dari Kochi Station:

Saya syorkan untuk menaiki Tosaden Tram dengan membeli 1 day pass dan turun di Harimayabashi.

Sekiranya berjalan kaki dari Kochi Station, tempoh masa perjalanan yang diambil adalah sekitar 15 minit.

4) Hirome Ichiba

Hirome Ichiba adalah pasar ikan dan anda boleh menikmati makanan laut yang segar di sini selain beberapa makanan Jepun yang lain.

Akses dari Kochi Station:

Saya syorkan untuk menaiki Tosaden Tram dengan membeli 1 day pass dan turun di Ohashidori.

Sekiranya berjalan kaki dari Kochi Station, tempoh masa perjalanan yang diambil adalah sekitar 20 minit.

5) Sakamoto Ryoma’s Birthplace and Hometown’s Museum

Walaupun muzium terbaik untuk mengetahui sejarah Sakamoto Ryoma adalah di Katsurahama iaitu Sakamoto Ryoma Memorial Museum, namun ketika saya melawatnya, ia ditutup sementara sehingga April 2018 untuk kerja-kerja pengubahsuaian.

Namun, Sakamoto Ryoma’s Hometown Museum juga menarik kerana berdekatan dengan tapak rumah tempat Sakamoto Ryoma dilahirkan dan muzium mini ini sesuai sekiranya anda mempunyai masa yang agak terhad.

Waktu lawatan: 8:00AM-7:00PM

Bayaran masuk: 300 yen

Akses dari Kochi Station:

Saya syorkan untuk menaiki Tosaden Tram dengan membeli 1 day pass dan turun di Kamimachi Itchome.

6) Tourism Event Hall

Terletak di hadapan Kochi Station, anda boleh melihat set drama Jepun iaitu Ryomaden dan telah dilakonkan oleh artis terkenal Fukuyama Masaharu yang memegang watak sebagai Sakamoto Ryoma. Berhadapan Tourism Event Hall ini pula adalah arca 3 tokoh utama Tosa iaitu Sakamoto Ryoma, Nakaoka Shintaro dan Takechi Hanpeita.

Akses dari Kochi Station:

Jarak perjalanan dengan berjalan kaki adalah selama seminit sahaja dari Kochi Station.

Kochi juga menawarkan aktiviti buat pencinta alam sekitar dan saya akan ceritakan dalam artikel seterusnya nanti.

Semoga perkongsian saya ini serba-sedikit dapat membantu dalam merancang percutian anda ke Jepun.

Terima kasih.