UNDISCOVERED JAPAN, SURPRISING SHIKOKU TRIP: Niyodo Blue

Sungai-sungai di Jepun kebanyakannya berwarna biru kehijauan, jernih dan bersih tetapi Niyodogawa (Sungai Niyodo) atau dikenali juga sebagai Niyodo Blue adalah antara 18 buah sungai yang tinggi kualitinya di Jepun.

Gambar di bawah ini adalah dari majalah tempatan di Kochi yang menunjukkan Niyodogawa terpilih sekali lagi untuk tahun 2017 dan menjadikannya 5 tahun berturut-turut terpilih dengan jumlah keseluruhan sebanyak 6 kali sebagai sungai yang berkualiti tinggi di Jepun.

Sungai-sungai ini melalui proses pemilihan dan bacaan BOD. Purata bacaan BOD untuk sungai-sungai yang terpilih adalah 0.5mg/liter.

*BOD : Biochemical Oxygen Demand iaitu kandungan oksigen terlarut yang diperlukan oleh bio mikro-organisma untuk memecah bahan organik yg wujud di dalam sampel air pada suhu dan tempoh yang ditetapkan. Unit BOD adalah dalam mg per liter. Ia digunakan sebagai nilai bacaan untuk mengetahui kadar pencemaran organik di dalam air.

Sungai bersih mempunyai bacaan BOD 1 mg/liter ke bawah.

Sungai separa tercemar bacaan BOD 2-8 mg/liter.

Sungai sangat tercemar mempunyai mempunyai bacaan BOD yang tinggi iaitu 8 mg/liter ke atas.

Lazimnya, longkang yang dirawat sebanyak 3 proses berperingkat mempunyai bacaan 20 mg/l ke bawah dan longkang yang langsung tidak dirawat mempunyai bacaan 200-600 mg/liter.

Berikut adalah senarai 18 buah sungai yang telah diiktiraf sebagai sungai berkualiti tinggi di Jepun pada tahun 2016. Niyodogawa dalam bulatan merah. (sumber dari Ministry of Land, Transport and Tourism; MILT).

Peta di bawah menunjukkan 12 buah sungai yang pernah terpilih sebanyak 4 kali ke atas sebagai sungai paling berkualiti di Jepun dan tahunnya. Niyodogawa dalam kotak merah.

(sumber dari Ministry of Land, Transport and Tourism; MILT).

Niyodogawa berpunca dari gunung tertinggi di Kepulauan Shikoku iaitu Ishizuchi dan mengalir ke Ehime dan Kochi meliputi kawasan seluas 1,560 km² dan sepanjang 124 km. Niyodogawa adalah antara 3 sungai terpenting di Shikoku selain Yoshinogawa dan Shimantogawa.

Untuk melihat kecantikan Niyodogawa, kami telah memilih 2 tempat iaitu di Nakatsu Keikoku (中津渓谷) dan Nikobuchi (にこ淵).

Dari bandar Kochi, perjalanan mengambil masa selama 90 minit dengan menaiki kereta. Nikobuchi yang terletak berdekatan sahaja dengan tempat letak kereta.

Nikobuchi agak curam, anda memerlukan kekuatan fizikal, pakaian dan kasut yang sesuai untuk turun ke sini.

Anda perlu memegang rantai besi yang disediakan untuk turun dan naik ke kawasan kolam Nikobuchi seperti yang saya kongsikan dalam video di bawah.

Batu di gigi air Nikobuchi juga sangat licin, sila berhati-hati. Saya ada kongsikan dalam link youtube di bawah ini keadaan untuk turun ke Nikobuchi serta lain-lain video dan gambar yang sempat saya ambil di Nikobuchi dan juga Nakatsu Keikoku.

Menurut penduduk tempatan, mereka mengelakkan diri dari melawat ke sini kerana percaya tempat itu suci. Sewaktu kami tiba, tidak ada pelawat lain di sini.

Pada waktu yang cerah, anda dapat melihat pemandangan yang paling cantik di Nikobuchi. Semasa kedatangan kami, cuaca agak mendung tetapi Nikobuchi masih kelihatan cantik dan kami sangat kagum melihat kejernihan airnya ditambah lagi dengan ketenangan suasananya kerana tidak ada kehadiran manusia selain burung-burung yang berterbangan disini.

Oleh kerana kecantikannya, Nikobuchi terpilih sebagai lokasi untuk pembikinan iklan-iklan media telekomunikasi dan cetak. Gambar di bawah ini adalah iklan yang kami jumpa di stesen keretapi.

Dari Nikobuchi, kami meneruskan perjalanan ke Nakatsu Keikoku yang terletak kira-kira 45 minit sahaja dengan menaiki kereta.

Di Nakatsu Keikoku terdapat kawasan onsen iaitu Yunomori Onsen dan anda boleh menginap juga di sini.

Semasa berjalan-jalan di Nakatsu Keikoku, anda akan terserempak dengan beberapa buah patung dewa sebanyak 7 semuanya dan ada yang diletakkan di tempat yang agak tersorok dan mungkin akan membuatkan anda terperanjat.

Anda juga akan melalui sungai, jambatan, air terjun kecil dan di akhir pengembaraan ini, anda akan dihadiahkan dengan pemandangan air terjun Uryu Falls (雨竜の滝) yang seperti mengalir di dalam sebuah gua.

Mitos mengatakan, air terjun yang cantik ini akan bertukar menjadi naga selepas hujan yang lebat.

雨 maknanya hujan, 竜 maknanya naga, manakala 滝 maknanya air terjun.

Perjalanan pergi dan pulang dari tempat letak kenderaan hingga ke Uryu Falls adalah tidak sampai 5km dan trek juga baik. Cuma anda perlu berhati-hari kerana akan melalui titi yang kecil dan sesekali berjalan atas batu yang licin.

Pada pendapat saya, Nakatsu Keikoku paling cantik untuk dilawati ketika musim luruh kerana anda dapat melihat warna-warna daun luruh yang berwarna-warni serta air yang berwarna hijau dan biru.

Semoga perkongsian ini dapat membantu anda membuat perancangan perjalanan anda, terima kasih.

Sekiranya anda berminat untuk melihat keindahan Niyodogawa, sila klik link di bawah untuk melihat koleksi seorang jurugambar tempatan yang terlibat dengan projek Niyodo Blue.

http://niyodoblue.jp/gallery/

http://www.kochi-insatu.co.jp/blue.html