Osaka City Abeno Life Learning Center & Tsunami/Storm Surge Disaster Prevention Station

Sempena memperingati peristiwa Tsunami Tohoku 11 Mac 2011, saya ingin memperkenalkan 2 tempat yang boleh anda lawati untuk merasai pengalaman secara simulasi gempa bumi dan tsunami serta belajar prosedur keselamatan sekiranya berlaku keadaan kecemasan seperti ini ataupun untuk sekadar mendapatkan ilmu sahaja.

Osaka City Abeno Life Safety Learning Center

Osaka City Abeno Life Safety Learning Center adalah salah satu tempat untuk belajar dan merasai pengalaman simulasi ini. Selain di sini, ada beberapa lain lagi di Jepun yang menawarkan pengalaman seperti ini.

Terdapat dua zon di sini iaitu Zon Pendidikan Pencegahan Bencana dan Zon Pengalaman Gempa dan Bencana.

Di zon pertama, pelawat boleh melihat maklumat mengenai bencana dan pencegahannya.

Di zon kedua, pelawat akan diberikan penerangan dengan apa yang perlu dilakukan semasa gempa bumi atau bencana lain dalam format yang mudah difahami serta belajar langkah-langkah awal yang perlu diambil untuk menyelamatkan diri dari kawasan gempa bumi.

Sudut Simulasi pula akan memberikan kita pengalaman gempa bumi yang dimodelkan sama seperti Great Hanshin Earthquake yang berskala JMA Shindo 7.

Sudut Menyelamatkan Diri memberi peluang kepada para peserta untuk merasai pengalaman untuk menyelamatkan diri ketika kebakaran berlaku di dalam bangunan.

Pengalaman di sini sangat menarik kepada dewasa mahupun kanak-kanak. Saya sarankan untuk pergi bersama mereka yang boleh berbahasa Jepun kerana segala penerangan adalah dalam bahasa Jepun dan sila buat tempahan terlebih dahulu kerana tempat ini selalu dilawati oleh rombongan sekolah.

Waktu operasi: 10AM-6PM

Cuti: Rabu, Khamis terakhir pada setiap bulan (sekiranya jatuh pada hari cuti umum, akan dibawa ke hari berikutnya) dan pada 28 Disember-4 Jan.

Bayaran masuk: Percuma

Akses:

Abeno Subway Station (exit 2 atau 7)

Abeno Hanshin Station

Tennoji Subway Station (exit 12)

JR Tennoji Station (central exit)

Osaka Abenohashi Station (south exit)

Website:

http://www.abeno-bosai-c.city.osaka.jp/bousai/bsw/a/a/bswaa010.aspx

Tsunami and Storm Surge Disaster Prevention Station, Osaka

Tsunami and Storm Surge Disaster Prevention Station terdiri daripada Bahagian Pencegahan Bencana dan Bahagian Paparan.

Bangunan asal tempat ini adalah untuk memberikan kawalan secara kolektif bagi tsunami dan melindungi alat kemudahan yang digunakan semasa arus pasang dan surut, seperti dinding/tebing laut dan pagar. Ianya adalah di bawah kelolaan Pejabat Kawalan Banjir Nishi Osaka.

Bangunan tambahan dibina bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai pencegahan bencana di kalangan penduduk setempat.

Bangunan kedua iaitu bahagian paparan adalah terbuka kepada orang ramai dan ianya membantu para pengunjung untuk mendapatkan ilmu tentang arus pasang surut yang pernah melanda Osaka pada masa lampau dan juga Gempa Bumi Tonankai / Nankai Earthquakes serta tsunami yang dipercayai akan melanda Osaka pada masa akan datang. Di sini juga anda akan belajar bagaimana untuk bertindak sekiranya terjadi gempa bumi atau tsunami.

Dengan “melihat, mendengar dan menyentuh,” anda boleh menikmati pembelajaran disamping menyedari kepentingan persediaan menghadapi bencana.

Waktu operasi: 10AM-4PM

Cuti: Selasa dan cuti hujung tahun dan awal tahun baru

Bayaran masuk: Percuma

Akses: Awaza Subway Station (exit 7 atau 10)

Website:

http://tsunami-osaka.jp