Jenis-Jenis Bunga Sakura dan Perbezaan Antara Bunga Sakura, Ume dan Momo

Jepun mempunyai lebih dari 100 jenis pokok sakura dan antaranya adalah pokok yang ditanam dan ada juga pokok yang liar.

1. Somei Yoshino

Sakura jenis somei yoshino adalah yang paling biasa kita ketemui. Ciri-ciri somei yoshino adalah mempunyai 5 kelopak bunga sepertimana majoriti bunga sakura yang lain. Warna bunganya merah jambu cair dan daunnya akan keluar selepas bunga sakuranya mencapai waktu kembang penuh.

2. Ichiyo

Ichiyo pula adalah pokok sakura yang mempunyai 20 kelopak bunga.

3. Kikuzakura

Kikuzakura mempunyai kelopak yang banyak sehingga ada yang mencapai 300 kelopak.

4. Shogetsu

Shogetsu pula berwarna putih atau merah jambu cair dan lebih kepada warna putih.

5. Kanzan

Kanzan mempunyai warna merah jambu gelap dan kelopak yang banyak.

6. Ukon

Ukon berwarna pelik sedikit dari sakura biasa iaitu hijau atau kuning. Terdapat juga beberapa jenis sakura yang berubah-ubah warnanya semasa musim ia mengembang.

7. Yamazakura

Yamazakura adalah pokok sakura liar yang mudah didapati di Jepun. Kelopaknya berwarna merah jambu dan daun serta bunganya akan keluar dan kembang bersama-sama.

8. Shidarezakura

Shidarezakura adalah pokok yang paling dijaga di Jepun, anda boleh lihat dahannya ditampung dengan pasak dari batang-batang kayu. Terdapat yang berkelopak 5 mahupun lebih dari itu. Kebiasaannya bunga yang mempunyai kelopak banyak akan kembang lewat sedikit, kira-kira seminggu selepas bunga kelopak 5 kembang.

Perbezaan bunga sakura (cherry blossom), ume (plum) dan momo (peach)

1. Ume (plum)

Ume akan berkembang awal sebelum sakura dan momo iaitu bermula dari bulan Januari hingga bulan Mac.

Ume tidak mempunyai tangkai atau sangat pendek dan bunganya akan kembang di dahan pokok.

Kelopak bunga ume biasanya berbentuk bulat.

Warnanya pelbagai iaitu dari merah jambu cair, merah jambu mahupun merah jambu pekat.

2. Sakura (cherry blossom)

Sakura berkembang antara bulan Mac ke April.

Kelopak sakura biasanya berlekuk seperti corak hati atau seakan digunting sedikit.

Sakura juga mempunyai tangkai yang panjang dan bunganya akan berkembang dengan banyak pada satu tangkai dahan.

3. Momo (peach)

Antara ketiga-tiga bunga ini, momo yang akan kembang akhir sekali iaitu antara awal bulan April hingga ke penghujung bulan April.

Tangkai momo agak pendek berbanding tangkai bunga sakura.

Hujung kelopaknya ada sedikit tajam seperti huruf ‘V’.

Kebanyakan bunga momo berwarna merah jambu pekat dan bunganya akan keluar 2 kuntum atau lebih pada 1 tunas yang sama.

Selamat menikmati musim bunga di Jepun.

Terima kasih.