Naik Teksi Di Jepun

Menaiki teksi atau dalam bahasa Jepun dipanggil takushi tidaklah mahal sekiranya kita ambil untuk jarak perjalanan bawah dari 3km, kongsi seramai 2-4 orang dan elakkan semasa jalanraya sesak, lewat malam atau awal pagi.

Kadar terkini teksi di Osaka dan Kyoto adalah 410 yen bagi 1.052km yang pertama dan tambahan 80 yen bagi 237m yang berikutnya dan 80 yen bagi setiap 90 saat (bagi jarak 10km ke bawah).

1km = 410 yen

2km = 730 yen

3km = 1130 yen

Tetapi harus ingat, pengiraan juga adalah mengikut masa. Oleh kerana itu, elakkan naik pada masa jalanraya sesak.

Harga juga adalah 2 kali ganda (waktu adalah berbeza mengikut kawasan), selepas jam 10 malam sehingga 5 pagi.

Anda boleh gunakan website ini untuk mendapatkan pengiraan kasar:

https://www.taxifarefinder.com

dan beberapa aplikasi seperti:

Japan Taxi Fare Calculator

1) Menahan Teksi

Sila tahan teksi di tempat khas menaiki teksi yang dipanggil takushi noriba, contohnya di hadapan stesen keretapi atau sekiranya tiada tempat menaiki teksi, tahan di tempat yang selamat untuk teksi berhenti.

Gambar di bawah adalah contoh papan tanda menunjukkan tempat menaiki teksi. Tempat menaiki teksi di stesen keretapi biasanya lebih besar, terletak di luar stesen keretapi dan ada atap serta boleh di kenalpasti kerana ada banyak teksi yang berbaris menunggu penumpang.

Cara menahan teksi sama sahaja di mana-mana iaitu dengan mengangkat sebelah tangan.

Anda juga boleh meminta pihak hotel untuk menelefon atau menggunakan aplikasi internet untuk memanggil teksi ini seperti:

Japan Taxi

Samurai Taxi

2) Mengenali teksi yang kosong atau ada penumpang

Sila lihat di bahagian cermin depan (penumpang hadapan), terdapat tanda yang mengatakan samada teksi itu kosong atau sudah mempunyai penumpang atau ada sesetengah teksi mempunyai tanda ini di atas bumbung teksi.

Gambar di atas ini menunjukkan teksi ini kosong dan sedia mengambil penumpang iaitu 空車 berbunyi kusha dan ada juga teksi menggunakan perkataan 実車 jissha. Kedua-duanya bermaksud teksi kosong dan sedia mengambil penumpang.

Gambar di atas menunjukkan teksi ini sudah mempunyai penumpang, sekiranya anda tahan, teksi ini tidak akan berhenti.

賃走 chinso bermaksud pengiraan tambang bagi teksi ini sedang berjalan kerana telah mempunyai penumpang di dalamnya.

Gambar di atas berbunyi 回送 kaiso yang bermaksud pemandu ini telah tamat bertugas dan dalam perjalanan pulang dan teksi ini juga tidak akan berhenti mengambil penumpang.

割増 warimashi seperti dalam gambar di atas menunjukkan bayaran 2 kali ganda telah bermula bagi teksi ini kerana masuk waktu lewat malam hingga ke awal pagi. Sekiranya teksi itu ada tanda mengatakan割増なしwarimashi nashi ini bermakna dia tidak mengenakan kadar 2 kali ganda pada jam 10 malam ke 5 pagi tersebut.

Perkataan 迎車 geisha seperti dalam gambar di atas bermaksud teksi ini dalam perjalanan untuk mengambil penumpang yang telah menempahnya samada melalui panggilan telefon atau aplikasi internet. Ada kawasan yang mengenakan bayaran tambahan untuk teksi yang dipanggil melalui telefon dan aplikasi internet dan ada yang memberikan perkhidmatan ini secara percuma. Oleh itu, sekiranya anda menahan teksi ini, ia tidak akan berhenti kerana telah mempunyai pelanggan dan dalam perjalanan untuk mengambilnya.

支払い shiharai bermaksud teksi ini telah sampai ke destinasi dan sedang menerima bayaran dari penumpangnya. Teksi ini bersedia untuk menerima penumpang baru setelah selesai menurunkan dan menerima bayaran dari penumpangnya.

Ada beberapa lagi tanda yang lain untuk teksi di Jepun dan tanda ini dipanggil super sign dan yang saya kongsikan di atas adalah yang paling utama digunakan di Jepun.

3) Adab menaiki teksi di Jepun

Keluar dan masuk dari pintu sebelah kiri. Kebanyakan pintu teksi di Jepun adalah automatik dan pemandu sangat menghargai sekiranya anda tidak menutup dan membuka pintu teksi sendiri secara manual. Pintu bahagian hadapan kebiasaannya adalah manual.

Penuhkan ruangan belakang dan sekiranya tidak cukup ruang, baru ambil tempat duduk di hadapan iaitu bersebelahan pemandu.

Teksi biasa di Jepun muat untuk 4 orang penumpang. Teksi bersaiz besar atau Jumbo Taxi kebiasaannya adalah melalui penempahan khas. Sekiranya anda mempunyai beg besar, 1 teksi mungkin boleh memuatkan 2-3 orang sahaja.

Teksi di Jepun biarpun kebanyakannya menggunakan kenderaan lama, tetapi enjinnya berkeadaan baik, catnya berkilat dan luar dalam kenderaan berkeadaan bersih. Oleh itu, sila jaga kebersihan semasa menaiki teksi, jangan buang sampah dan bawa turun sampah anda.

Elakkan makan dan minum dalam teksi kerana akan mengotorkan dalam teksi. Makanan seperti gula-gula tidak mengapa tetapi jangan lupa bawa pulang sampahnya bersama anda.

Jaga adab, berikan salam seperti konnichiwa semasa naik dan berikan ucapan terima kasih seperti domo arigato gozaimashita semasa turun.

Pastikan anda membawa turun semua barangan milik anda dan sampah juga untuk dibuang di tempat yang sepatutnya. Jepun adalah negara yang selamat dan kebanyakan teksi di Jepun juga mempunyai cctv. Barang yang hilang atau tertinggal di dalam teksi boleh ditemui kembali sekiranya dapat menghubungi semula pemandu atau syarikat teksi tersebut. Paling baik, elakkan dari berlaku dan jaga barang anda kerana ada kebarangkalian juga barang itu tidak dapat ditemui kembali.

4) Memberitahu destinasi anda

Beritahu alamat destinasi tujuan anda. Sekiranya anda mempunyai alamat bertulis adalah lebih baik kerana mungkin sebutan kita akan menyebabkan pemandu kurang faham.

Sekiranya melalui percakapan, sila gunakan dialog di bawah:

watashi wa ___ e’ ikimasu.

Saya mahu ke ____.

Contoh: watashi wa Tokyo Tower e’ ikimas。/ Saya mahu ke Tokyo Tower.

5) Bayaran

Sediakan bayaran dengan duit kecil atau secukupnya. Sesetengah teksi menerima bayaran melalui kad kredit dan IC Card seperti ICOCA, SUICA dan sebagainya. Biasanya ada stiker info untuk jenis bayaran di tingkap teksi atau dalam teksi. Anda juga boleh bertanya samada dia menerima bayaran menggunakan kad kredit atau IC Card untuk kepastian.

Semoga tips ini membantu, terima kasih.