Tips Travel Bersama Anak Kecil Ke Luar Negara

Saya nak kongsikan sedikit tips travel bersama anak kecil.

1. Pastikan anak betul-betul sihat dan dapatkan vaksin sekiranya perlu. Sila dapatkan nasihat doktor terlebih dahulu.

2. Bawa ubat-ubatan untuk persediaan di masa kecemasan selain ubat yang terlarang kerana ada ubat yang perlu mendapatkan kebenaran terlebih dahulu, ada ubat yang dibenarkan bawa masuk mengikut kuantiti tertentu dan ada ubat yang memang dilarang mengikut polisi negara destinasi. Contohnya, ada beberapa inhaler yang dilarang masuk ke Jepun. Lazimnya, produk yang mengandungi Pseudoephedrine, seperti Actifed, Sudafed, dan Vicks inhaler memang dilarang untuk masuk ke Jepun. Boleh layari link ini untuk maklumat lanjut:

http://www.customs.go.jp/tetsuzuki/c-answer/sonota/011sonota9003_jr.pdf

3. Membeli perlindungan insurans untuk diri anda dan keluarga.

4. Pastikan anak anda makan dan tidur mengikut waktu serta mendapat rehat yang cukup.

5. Keperluan nutrisi juga penting. Sila pastikan pengambilan sayur, buah dan vitamin yang cukup. Pengambilan air juga sangat penting bagi mengelakkan dehidrasi.

6. Elakkan untuk berada di kawasan yang ramai orang kerana virus mudah tersebar di kawasan sebegini.

7. Sekiranya membawa stroller, pakaikan rain cover kerana ianya membantu untuk menghalang angin sejuk dari terkena anak anda secara langsung serta boleh mengelakkan anak anda dari terkena habuk, debunga atau air pernafasan orang lain yang boleh tersebar semasa bersin, bercakap atau batuk.

8. Membawa bersama selimut untuk winter bagi menjaga suhu badan anak pada musim sejuk. Perlu berikan perhatian, sekiranya terlalu panas juga akan membahayakan kesihatan anak anda.

9. Pakaian hendaklah sesuai, pada musim sejuk, pakaikan pakaian musim sejuk seperti longjohn, glove, winter coat dan sebagainya.

10. Membawa sanitizer dan wet tissue. Membersihkan tangan dengan betul terutamanya selepas memegang benda yang selalu orang awam gunakan seperti handrail, selepas keluar dari tandas, serta sebelum dan selepas makan.

11. Memakai face mask juga bagus kerana boleh mengelakkan diri dari jangkitan atau menjangkiti orang lain serta perlindungan dari udara kotor. Selain itu, face mask menjadikan udara yg kita sedut menjadi kurang sejuk dan ini menyebabkan kita lebih selesa untuk berjalan di luar pada musim sejuk.

12. Jadual perjalanan hendaklah fleksibel, tidak terlalu padat dan memenuhi citarasa anak anda supaya mereka tidak bosan. Sekiranya anak anda menunjukkan rasa tidak selesa dan letih, boleh pulang awal ke hotel untuk berehat.

13. Sekiranya anak anda masih memakai lampin, pastikan ianya kerap ditukar dan bawa pakaian lebih semasa bersiar-siar untuk digantikan sekiranya perlu.

14. Maklumkan kedatangan anda kepada pihak konsular dan kedutaan Malaysia di luar negara. Sila layari link ini:

https://shemazack.com/makluman-warganegara-malaysia-yang-bakal-melawat-atau-menetap-di-jepun/

15. Risiko untuk kehilangan anak anda semasa bersiar-siar memang ada. Anak anda perlu dididik untuk sentiasa berjalan bersama-sama serta beritahu mereka risiko untuk hilang supaya ianya dapat dielakkan dari berlaku.

Namun, persediaan untuk menghadapi situasi seperti ini perlu. Sediakan nota dan simpan di tempat yang selamat seperti poket yang berzip pada anak anda. Ada juga penjaga yang menjahitnya pada jaket anak. Sekiranya dia hilang atau terpisah dari kita, dia mempunyai nota ini untuk diserahkan kepada pihak polis, petugas di stesyen keretapi atau bas, penjaga kaunter dan sebagainya. Sekiranya tidak berjumpa orang sebegini, pada pendapat saya sekiranya bertemu ibu yang sedang membawa anak juga boleh dipercayai.

Maklumkan anak anda supaya menyerahkan nota ini kepada kepada orang-orang tertentu sahaja seperti petugas taman tema, petugas pasaraya, polis, petugas stesyen keretapi atau bas, atau mereka yang bekerja di kaunter.

Untuk memudahkan anak anda, boleh berlakon dahulu seperti anak anda telah hilang dan anda memegang watak sebagai pekerja beruniform atau pekerja di kaunter.

Nota ini perlu ada nombor telefon untuk hubungi anda, nombor telefon hotel, alamat penginapan dan nama penjaga.

Kalau masuk taman tema atau tempat membeli belah dan sebagainya lebih baik tunjukkan satu tempat untuk berkumpul.

Sekiranya mereka hilang, mereka hendaklah tunggu ibu bapa atau penjaga di situ. Tempat yang terbaik untuk dijadikan tempat berkumpul semasa hilang adalah kaunter informasi dan pintu keluar/masuk taman tema.

Produk seperti gps tracker juga dapat membantu dalam kes kecemasan sebegini.

Langkah yang perlu sekiranya berlaku kejadian sepert ini ialah:

1) Tunggu di tempat yang orang ramai boleh lihat anda dan selamat seperti di kaunter informasi.

2) Maklumkan nota itu kepada orang yang tertentu dan jangan ikut mereka ke mana-mana melainkan mereka adalah pihak polis.

3) Pihak yang dimaklumkan tentang nota itu akan maklumkan ibu bapa atau penjaga melalui panggilan telefon kepada ibu bapa/penjaga atau sekiranya anda tidak mempunyai talian telefon, mereka akan menghubungi hotel.

4) Hubungi pihak hotel untuk mendapatkan maklumat sekiranya ada panggilan berkenaan anak anda.

5) Pergi ambil anak anda setelah dapat maklumat daripada pihak yang berkenaan.

Sekiranya anak anda memang telah tahu tempat berkumpul lebih mudah, kerana dia boleh terus ke situ dan anda juga akan terus menuju ke situ setelah sedar kehilangannya.

Mencegah sememangnya lebih baik dari mengubati, elakkan dari berlaku perkara sebegini dengan didikan dan langkah pencegahan. Tetapi sekiranya berlaku juga, anda telah ada langkah-langkah yang perlu di ambil dan tidak perlu panik.

Semoga tips ini membantu, terima kasih.